Seramai 47,000 pasangan dijangka mendapat manfaat daripada program Bantuan Rawatan Kesuburan dan Advokasi Infertiliti (BuAI) Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada tahun 2026.
Program ini menawarkan pembiayaan sehingga dua kitaran inseminasi intrauterin (IUI) kepada pasangan yang layak, khususnya mereka dalam kumpulan B40.
Apa Itu Program BuAI?
Diperkenalkan dengan tema ‘Lebih Awal, Lebih Baik’, BuAI merupakan inisiatif kerajaan untuk membantu pasangan yang menghadapi masalah subfertiliti.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, menjelaskan bahawa sebelum mendapat rawatan, pasangan perlu menjalani saringan perubatan terlebih dahulu bagi menentukan kaedah rawatan yang paling sesuai.
Selain BuAI, LPPKN turut menawarkan rawatan IVF (In Vitro Fertilisation) kepada pasangan yang memerlukan. Keutamaan diberikan kepada kumpulan B40 sebagai syarat asas kelayakan.
Lebih 373,000 Kes Diuruskan Sejak 1979
Sejak ditubuhkan pada 1979, LPPKN telah menjadi agensi pelopor dalam perkhidmatan kesihatan reproduktif di Malaysia.
Melalui subsidi rawatan dan perkhidmatan menyeluruh yang ditawarkan, lebih 373,000 kes subfertiliti telah dikendalikan, dengan 6,513 rekod kehamilan berjaya dicatatkan sehingga kini.
Pusat Subfertiliti Negara Dijangka Beroperasi Menjelang 2030
Selain program BuAI, kerajaan turut merancang untuk membangunkan Pendaftaran Subfertiliti Kebangsaan bermula tahun ini, selaras dengan piawaian antarabangsa. Pendaftaran ini akan menyokong penubuhan Pusat Subfertiliti Negara (PSN) di Shah Alam, yang dijadualkan mula beroperasi menjelang 2030.
Data daripada pendaftaran ini akan membantu kerajaan merancang, memantau, dan meningkatkan kualiti perkhidmatan kesuburan negara secara lebih bersepadu.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
