Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) sedang menjalankan Kajian Semula Perintah Gaji Minimum (PGM) 2024 dari Januari hingga September 2026.
Kajian ini dijalankan melalui Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) untuk menilai semula sama ada kadar gaji minimum semasa masih berpadanan dengan kos sara hidup, produktiviti pekerja, dan keadaan pasaran buruh negara.
Dapatan kajian ini akan dijadikan asas cadangan kepada kerajaan untuk menetapkan dasar gaji minimum pada masa hadapan.
Survei Dalam Talian Masih Dibuka Hingga 19 Jun 2026
Salah satu kaedah kajian ini dijalankan adalah melalui survei atas talian yang bermula pada 6 Mei 2026 dan akan ditutup pada 19 Jun 2026. Ia terbuka kepada semua majikan dan pekerja sektor swasta di seluruh Malaysia.
Penyertaan dalam survei ini secara langsung mempengaruhi bagaimana dasar gaji minimum negara akan dibentuk semula, termasuk aspek perlindungan kebajikan pekerja dan kelangsungan perniagaan majikan.
KESUMA turut menegaskan bahawa semua maklumat yang dikumpulkan adalah sulit dan hanya digunakan untuk tujuan kajian dasar semata-mata.
Sesi Dialog Telah Berlangsung Di 21 Lokasi
Selain survei dalam talian, KESUMA turut menganjurkan Sesi Libat Urus (SLU) di 21 buah lokasi seluruh negara dari 30 Mac hingga 29 April 2026. Sesi ini melibatkan majikan, pekerja, persatuan majikan, dan kesatuan sekerja secara langsung.
Fokus sesi ini adalah untuk mendapatkan maklum balas tentang pelaksanaan PGM 2024 dan menggalakkan pelaksanaan sistem penggajian yang lebih adil, efektif dan mampan.
Cara Untuk Sertai Kajian Ini
Ada dua cara untuk anda mengambil bahagian:
- Imbas kod QR dalam kenyataan rasmi KESUMA untuk mengisi borang survei. Terdapat borang berasingan untuk majikan dan pekerja.
- Hantar memorandum atau pandangan bertulis melalui e-mel kepada: kajianpgm@mohr.gov.my
Pilihan kedua terbuka kepada majikan, persatuan majikan, pekerja, dan kesatuan sekerja yang ingin berkongsi pandangan secara lebih terperinci.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
