Golongan wanita di Malaysia semakin memikul beban besar dengan menjaga anak, mengurus kewangan rumah tangga dan pada masa yang sama menjaga ibu bapa yang semakin uzur.
Kajian terbaru Sun Life bertajuk Women’s Wealth in Focus mendedahkan bahawa lebih 60% wanita di Malaysia mengakui tanggungjawab menjaga dua pihak serentak memberi kesan secara langsung kepada kerjaya dan keupayaan mereka untuk menjaga diri sendiri.
“Triple Penalty” Yang Ramai Tak Sedar Mereka Tanggung
Kajian ini memperkenalkan konsep “triple penalty”. Ia satu situasi di mana tanggungjawab penjagaan menjejaskan tiga aspek penting dalam kehidupan wanita serentak.
Lapan daripada 10 wanita (80%) berkata beban menjaga keluarga menghalang mereka daripada memperbaiki kedudukan kewangan diri. Selain itu, 68% menyatakan tugas penjagaan mengurangkan masa untuk menjaga kesihatan diri sendiri, manakala 66% merasakan perkara yang sama beri kesan terhadap kerjaya mereka.
Kesannya, ramai yang terpaksa berkorban. Pengorbanan yang paling biasa dilaporkan termasuklah memotong perbelanjaan hiburan dan pelancongan (76%), menangguhkan simpanan persaraan (34%) dan mengehadkan peluang pelaburan (33%).
Golongan Wanita Juga Perlu Tanggung Kos Penjagaan Ibu Bapa
Tekanan datang bukan sahaja dari anak-anak, tetapi juga dari generasi yang lebih tua. Hampir 9 daripada 10 wanita yang disoal selidik menjangkakan mereka perlu menanggung kos penjagaan ibu bapa mereka apabila tua kelak. Namun, hanya 19% sahaja yang kini menyimpan sekurang-kurangnya 10% daripada pendapatan mereka untuk persediaan tersebut.
Jurang antara jangkaan dan persediaan ini agak membimbangkan terutamanya apabila kos perubatan terus meningkat setiap tahun.
Wanita Jadi Ketua Uruskan Kewangan Rumah Tangga
Walaupun beban itu berat, tetapi semakin ramai golongan wanita di Malaysia yang mengambil peranan utama dalam pengurusan kewangan keluarga. Hampir separuh (44%) menanggung sendiri tanggungjawab mengurus perbelanjaan harian, manakala 42% pula menguruskan pelaburan dan kewangan jangka panjang secara bersendirian.
Lebih menarik lagi, 52% daripada mereka yang disoal selidik berkata mereka mempunyai kata putus akhir dalam keputusan kewangan besar isi rumah. Peratusan itu melonjak kepada 83% dalam kalangan wanita yang menjadi tulang belakang keluarga (breadwinner).
Namun, tanggungjawab ini turut membawa pengorbanan. Hampir 6 daripada 10 wanita (59%) menyatakan rasa tanggungjawab yang berat terhadap anggota keluarga. 44% sanggup mengorbankan kestabilan kewangan diri sendiri demi melindungi kesejahteraan keluarga.
Kos Perubatan Jadi Antara Beban Utama Buat Wanita
Kos kesihatan terus menjadi antara cabaran terbesar. Ia dikenal pasti sebagai antara tiga halangan utama oleh lebih separuh responden dan dua tahun berturut-turut menduduki tempat teratas.
Yang lebih membimbangkan, 62% daripada wanita pernah menangguhkan atau menolak rawatan perubatan untuk diri sendiri kerana terpaksa mengutamakan keperluan anak-anak atau ibu bapa. Mereka menanggung risiko kesihatan sendiri demi keluarga.
59% Wanita Akui Kewangan Diri Kukuh, Namun Persediaan Hadapi Masalah Kewangan Masih Rendah
Sebanyak 59% wanita berkata kewangan mereka lebih kukuh berbanding ibu mereka pada usia yang sama. Namun, persediaan menghadapi masalah kewangan masih rendah, hanya 10% yang berasa benar-benar bersedia menghadapi situasi kewangan yang tidak dijangka.
Hampir 9 daripada 10 (89%) wanita yang berkahwin pula berkata keluarga mereka akan terjejas dari segi kewangan jika suami tidak dapat bekerja atas sebab kesihatan.
Dari sisi pengurusan harian, wanita di Malaysia sebenarnya cekap dalam menguruskan komitmen bulanan seperti 79% membayar bil tepat pada masanya. Tapi untuk perancangan jangka panjang, hanya 25% yang kerap menyemak perlindungan insurans mereka dan hanya 13% yang mendapatkan nasihat profesional sebelum membuat keputusan kewangan.
Hanya 8% Wanita Ada Penasihat Kewangan
Walaupun menanggung tanggungjawab kewangan yang besar, akses wanita kepada nasihat profesional masih sangat terhad. Hanya 8% wanita dalam kajian ini membuat rujukan dengan penasihat kewangan walaupun kadar itu sedikit lebih tinggi dalam kalangan ibu (28%) berbanding wanita yang tidak mempunyai anak (21%).
Persepsi industri juga menjadi halangan. Tujuh daripada 10 wanita (72%) percaya sektor kewangan masih didominasi lelaki dan 34% wanita yang belum mendapatkan nasihat kewangan menyatakan persepsi ini sebagai faktor yang menghalang mereka.
Meskipun begitu, permintaan untuk mendapatkan nasihat kewangan dalam kalangan wanita itu masih ada. 45% golongan wanita menyatakan minat terhadap pengetahuan yang dapat membantu mereka mencapai persaraan yang tenang.
Ramai Wanita Di Malaysia Pikul Beban Penjagaan Yang Berat
Ketua Pegawai Operasi Sun Life Malaysia, Irina Lim berkata, kajian ini menunjukkan ramai wanita di Malaysia memikul beban penjagaan yang berat sambil menguruskan kewangan isi rumah. Tekanan itu boleh menjejaskan kesihatan, kerjaya dan keselamatan kewangan jangka panjang mereka.
“Di Sun Life Malaysia, kami mahu memudahkan wanita dan keluarga untuk merancang ke hadapan dengan perlindungan yang betul, panduan praktikal dan sokongan untuk kekal berdaya tahan hari ini dan membina masa depan yang lebih selamat,” kata Irina Lim.
Kajian Women’s Wealth in Focus ini melibatkan 3,001 responden yang ditemu bual secara dalam talian merentasi Malaysia, Hong Kong SAR, Indonesia, Filipina, Singapura dan Vietnam pada Januari 2026.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
