Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan pengeluaran enam syiling peringatan edisi terhad bertemakan ‘Malaysia’s Treasures to the World’, menampilkan keenam-enam tapak Warisan Dunia UNESCO yang ada di Malaysia.
Syiling ini mula dijual sejak 11 April lalu dan masih boleh ditempah untuk pembelian sehingga 21 April ini.
6 Tapak Warisan Malaysia di Atas Syiling
Setiap syiling menampilkan reka bentuk unik di bahagian hadapan (obverse) berdasarkan tapak warisan yang diwakilinya. Tulisan ‘TAPAK WARISAN UNESCO MALAYSIA’ dan nama tapak turut tertera.
Berikut adalah keenam-enam tapak yang dipilih:
1. Taman Negara Gunung Mulu (Sarawak): Menampilkan puncak batu kapur Gunung Mulu yang ikonik. Landmark taman negara ini yang terkenal dengan kepelbagaian biologi dan landskap karst yang memukau.
2. Taman Kinabalu (Sabah): Menampilkan Gunung Kinabalu, puncak setinggi 4,095 meter yang merupakan gunung tertinggi antara Himalaya dan New Guinea. Ia merupakan tapak penting untuk penyelidikan ekologi di Asia Tenggara.
3. Bandar Melaka dan George Town: Reka bentuk menunjukkan A Famosa (Melaka) dan Kota Cornwallis (Pulau Pinang). Dua bandar warisan yang membawa sejarah panjang pengaruh kolonial Eropah di Asia.
4. Lembah Lenggong (Perak): Menampilkan Perak Man iaitu penemuan arkeologi penting dari Lembah Lenggong yang mendedahkan sejarah awal tamadun manusia di Asia Tenggara dari zaman Paleolitik dan Neolitik hingga Zaman Logam.
5. Kompleks Gua Niah (Sarawak): Reka bentuk ini menonjolkan Kompleks Gua Niah yang merupakan salah satu tapak prasejarah terpenting di Asia Tenggara. Penemuan arkeologi di dalam gua membuktikan kesinambungan budaya manusia dengan alam selama ribuan tahun.
6. Taman Hutan FRIM Selangor: Menampilkan kanopi hutan hujan di Forest Research Institute Malaysia (FRIM). Yang menariknya, kawasan ini dulunya merupakan lombong bijih timah yang terbiar dan kini ia diiktiraf sebagai salah satu inisiatif penghijauan semula (reforestation) paling berjaya di rantau ini.
Reka Bentuk Belakang Syiling
Rekaan bahagian belakang (reverse) keenam-enam syiling ini berkongsi reka bentuk yang sama. Tulisan “BANK NEGARA MALAYSIA” tertera di bahagian atas, diikuti tulisan “5 RINGGIT” di tengah.
Pada bahagian belakang syiling juga turut menampilkan satu bulatan yang menggabungkan keenam-enam tapak warisan, serta peta Malaysia dengan lokasi setiap tapak ditandakan.
Spesifikasi dan Harga
| Butiran | Maklumat |
| Bahan | Kuprum bersadur emas (gold-plated copper, proof-like) |
| Nilai Muka | RM5 |
| Berat | 28.65 gram |
| Diameter | 40.70 mm |
| Kuantiti | 2,000 keping setiap reka bentuk |
| Harga Jualan | RM110 satu syiling (termasuk SST 10%) |
Secara keseluruhan, hanya 12,000 keping syiling dicetak bagi keenam-enam reka bentuk.
Cara Untuk Membuat Tempahan Syiling Peringatan Ini
Tempahan dibuka di duit.bnm.gov.my dari jam 9:00 pagi, 11 April 2026 hingga 9:00 pagi, 21 April 2026.
Setiap reka bentuk dijual berasingan, dan setiap orang hanya dibenarkan membeli maksimum dua keping bagi setiap reka bentuk. Semua tempahan akan dipertimbangkan tanpa mengutamakan mana-mana tempahan berdasarkan tarikh atau masa. Jadi tidak perlu berebut untuk menempah awal.
Sekiranya permintaan melebihi stok yang ada, proses undian (ballot) akan diadakan. BNM turut mengingatkan orang ramai agar hanya membuat tempahan melalui sistem rasmi BNM dan bukan melalui mana-mana pihak lain.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
