Muslim Pro Dan Bettr Bakal Lancar Pembiayaan Umrah Patuh Syariah Di Malaysia

KONGSI

Kos Umrah sebenarnya agak mahal juga, lebih-lebih lagi jika anda perlu membayarnya sekaligus sebelum berangkat. Bettr, iaitu penyedia penyelesaian kewangan di bawah Ant International, baru sahaja mengumumkan kerjasama dengan Muslim Pro bagi melancarkan perkhidmatan pembiayaan Umrah khusus untuk pengguna di Malaysia.

Kemudahan ini disasarkan kepada anda yang layak dan mampu menunaikan Umrah, tetapi mahu menguruskan kos perjalanan dengan lebih fleksibel menerusi bayaran ansuran. Menurut kedua-dua syarikat, inisiatif ini diwujudkan bertujuan untuk membantu anda menguruskan aliran tunai dengan lebih baik tanpa menjejaskan simpanan atau komitmen kewangan lain, lapor SoyaCincau pada 10 Ogos 2026.

Mohon Pembiayaan Umrah Terus Dalam Aplikasi Muslim Pro

Jika anda memenuhi setiap kriteria kelayakan, anda boleh melihat pakej Umrah daripada rakan kongsi yang mengambil bahagian terus dalam aplikasi Muslim Pro, dan mohon pembiayaan secara digital. Anda juga boleh memilih tempoh bayaran balik antara 12 hingga 24 bulan, tertakluk kepada syarat dan kelayakan yang ditetapkan. Pembiayaan boleh diselesaikan lebih awal mengikut terma yang berkuat kuasa.

Pakej yang ditawarkan merangkumi pilihan standard hingga premium, sama ada untuk anda seorang atau sekeluarga. Bergantung kepada pakej yang dipilih, ia boleh meliputi tiket penerbangan, penginapan, makanan, serta pengangkutan darat sepanjang anda berada di Tanah Suci.

Struktur Pembiayaan Patuh Syariah

Pembiayaan ini menggunakan struktur Tawarruq (Commodity Murabahah). Proses transaksi dijalankan menerusi AS-SIDQ, platform dagangan komoditi digital milik SEDANIA As Salam Capital, dengan struktur pembiayaan disahkan oleh Masryef Advisory Sdn. Bhd.

Menurut Bettr, pembiayaan ini diwujudkan untuk membantu anda yang mempunyai kemampuan membayar balik, selaras prinsip Islam yang menekankan agar ibadah haji atau umrah tidak membebankan kewangan keluarga.

Direka Untuk Bantu Anda Urus Aliran Tunai

Bettr berkata anda boleh memanjangkan tempoh bayaran kos Umrah kepada bayaran ansuran yang lebih mudah untuk diuruskan, sekali gus dapat mengekalkan simpanan dan dana kecemasan tanpa ganggu komitmen kewangan sedia ada.

Bagi menilai kelayakan setiap pemohon, Bettr menggunakan model penilaian risiko kredit untuk mengukur kemampuan bayaran balik anda. Syarikat itu turut berkata bahawa privasi serta keselamatan data pengguna menjadi antara keutamaan dalam proses permohonan. Pendekatan ini juga terbuka kepada kumpulan pengguna yang lebih luas, termasuk pekerja gig dan pemilik perniagaan kecil, selagi mereka memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan.

Kenapa Perkhidmatan Ini Diperkenalkan

Menurut Ant International pula, inisiatif ini dibuat seiring dengan peningkatan penggunaan platform digital dalam kalangan komuniti Islam di seluruh dunia. Dengan kira-kira 2 bilion umat Islam di seluruh dunia, termasuk sekitar 22 juta orang di Malaysia, permintaan terhadap perkhidmatan kewangan yang disepadukan ke dalam aplikasi digital dijangka terus meningkat.

Di Malaysia, kebanyakan pengembara Umrah berusia antara 30 hingga 50 tahun, dan menyara isi rumah seramai dua hingga lima ahli. Kos Umrah biasanya sudah dirancang dan disimpan lebih awal, dan pembayaran secara fleksibel ini dapat membantu untuk menampung  baki kekurangan, tanpa menjejaskan komitmen kewangan lain yang sedia ada.

Ciri Ini Belum Tersedia Buat Masa Ini

Berdasarkan semakan dalam aplikasi Muslim Pro, ciri pembiayaan ini masih belum tersedia. Kenyataan rasmi juga tidak mendedahkan tarikh sebenar ia akan mula ditawarkan. Kadar keuntungan dan yuran produk turut tidak dinyatakan dalam laporan asal SoyaCincau. Kami menasihati anda agar semak terus dengan Muslim Pro atau Bettr untuk butiran lengkap sebelum ciri ini dilancarkan. Maklumat lanjut boleh disemak di laman web rasmi Muslim Pro.

Ikuti kami di saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen