Unifi akan menjalankan naik taraf sistem bermula Jumaat ini sehingga Isnin minggu depan iaitu dari 22 Mei sehingga 25 Mei 2026.
Sepanjang tempoh itu, aplikasi MyUnifi dan Portal Unifi Selfcare tidak dapat diakses buat sementara waktu. Namun anda tidak perlu risau kerana sambungan internet anda akan kekal aktif seperti biasa.
Apa Yang Boleh dan Tidak Boleh Dibuat Semasa Tempoh Naik Taraf
Tidak semua platform Unifi terjejas. Berikut ringkasannya:
| Platform | Status |
| Aplikasi MyUnifi | Tidak tersedia |
| Unifi UniVerse app | Tidak tersedia |
| Laman web unifi.com.my | Masih boleh diakses |
| Portal Unifi Selfcare | Tidak tersedia |
| JomPAY | Masih boleh digunakan |
| Aplikasi Unifi TV 2.0 | Masih boleh digunakan |
| Aplikasi Unifi Smart Home | Masih boleh digunakan |
Untuk pembayaran bil, anda masih boleh menggunakan JomPAY. Rekod pembayaran akan dikemaskini secara automatik apabila sistem kembali dalam talian.
Sekiranya perkhidmatan anda tergendala akibat pembayaran tertunggak semasa tempoh ini, hubungi Unifi di 100 atau melalui Maya Unifi dengan menyertakan bukti pembayaran untuk proses penyambungan semula. Jika tidak, sistem akan kemaskini secara automatik dalam masa 24 jam.
Selesaikan Perkara Ini Sebelum 22 Mei
Unifi mengesyorkan anda uruskan perkara berikut sebelum naik taraf bermula:
- Bayar semua bil tertunggak (jalur lebar, telefon bimbit dan akaun perniagaan)
- Muat turun penyata bil terdahulu yang diperlukan
- Uruskan permintaan pindah alamat, langganan, atau pengubahsuaian pesanan
- Urus langganan perkhidmatan tambahan seperti Smart TV, Smart Home, dan pek Unifi TV
- Beli pas data atau kredit prabayar yang diperlukan
- Jika merancang untuk ke luar negara, aktifkan Scheduled Roaming atau International Roaming melalui aplikasi MyUnifi, Unifi UniVerse, atau portal Unifi sebelum berlepas
- Urus langganan baharu aplikasi streaming
Apa Yang Berubah Selepas Naik Taraf?
Bayaran langganan bulanan, butiran akaun bil, dan kontrak perkhidmatan anda tidak akan berubah.
Namun, anda mungkin perasan dua perkara ini:
- Nama pelan mungkin dikemaskini sedikit tetapi perkhidmatan dan faedah yang anda nikmati kekal sama.
- Semua akaun Unifi anda (broadband, mobile, voice,dan Unifi TV) akan disatukan dalam satu aplikasi sahaja, iaitu aplikasi MyUnifi.
Log Masuk Selepas Naik Taraf
Nama pengguna dan kata laluan anda tidak berubah. Walau bagaimanapun, anda mungkin akan diminta untuk mengesahkan e-mel atau nombor telefon semasa log masuk kali pertama selepas naik taraf. Ini adalah langkah keselamatan biasa.
Jika aplikasi MyUnifi tidak dapat dibuka selepas naik taraf selesai, buang aplikasi tersebut dan cuba untuk memuat turun semula aplikasi melalui Google Play Store atau App Store (cari “MyUnifi” dan klik “Update”).
Saluran Sokongan Semasa Tempoh Naik Taraf
| Saluran | Waktu Operasi |
| Telefon: 100 (dalam negara) | 8:00 pagi – 10:00 malam |
| Telefon: +603-2106 3001 (luar negara) | 8:00 pagi – 10:00 malam (Waktu Malaysia) |
| Maya Chatbot (maya.unifi.com.my) | 24 jam |
Permintaan bayaran balik dan penamatan perkhidmatan hanya boleh dikemukakan selepas sistem kembali dalam talian pada 25 Mei 2026.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
