TNB Guna AI Seperti ‘GPS Pintar’ untuk Urus Grid Elektrik Malaysia

KONGSI

Tenaga Nasional Bhd (TNB) kini menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk mengurus grid elektrik negara dengan lebih cekap dan pantas. 

Bukan sekadar teknologi baharu, AI sudah beroperasi dalam sistem harian TNB untuk meramal permintaan, mengesan kerosakan dan mengoptimumkan aliran kuasa secara langsung.

AI Beri Grid Elektrik “Otak dan Mata”

Ketua Pegawai Digital dan Maklumat TNB, Azlan Ahmad menjelaskan bahawa AI membolehkan grid kuasa berfungsi seperti sistem yang boleh berfikir sendiri.

“Sistem bekalan kuasa tradisional adalah seperti kereta manual, di mana pemandu perlu membuat setiap keputusan, menukar setiap gear dan memerhati setiap tolok,” katanya.

Situasinya kini jauh berbeza. Ribuan panel solar dan pengecas kenderaan elektrik (EV) disambungkan ke grid setiap hari. Tanpa AI, mustahil untuk manusia mengurus semua ini secara serentak.

AI yang digunakan TNB berfungsi dalam tiga cara utama:

  • Seperti peramal cuaca, ia menjangka perubahan permintaan elektrik dan menyediakan sistem lebih awal.
  • Seperti GPS pintar, ia mencari laluan paling efisien untuk tenaga bergerak supaya tiada yang dibazirkan.
  • Seperti pengawal keselamatan 24/7, ia mengesan tanda-tanda awal kerosakan pada kabel sebelum gangguan berlaku.

Daripada Reaktif kepada Proaktif

Sebelum ini, industri utiliti cenderung untuk bertindak balas selepas masalah berlaku. Kini, TNB telah beralih kepada pendekatan yang lebih maju ke hadapan.

AI sudah digunakan dalam beberapa aplikasi nyata di TNB, termasuk alat yang mengenal pasti corak litar terputus, sistem penyelenggaraan ramalan untuk kabel bawah tanah serta penyelesaian kecerdasan visual (visual intelligence) untuk meningkatkan kualiti kerja lapangan dan keselamatan.

“Ia membolehkan kami pantas untuk mengesan dan segera bertindak,” kata Azlan.

AI juga membantu TNB menentukan peralatan mana yang perlu diselenggara berdasarkan keadaan sebenar, bukan lagi sekadar mengikut jadual yang telah ditetapkan. Ini bermakna masalah dapat ditangani sebelum kerosakan berlaku.

Persiapan untuk Grid Kuasa Asean

Di peringkat serantau, asas digital yang dibina TNB turut menyokong persiapan untuk inisiatif Grid Kuasa Asean (Asean Power Grid) pada masa hadapan. Inisiatif ini bertujuan untuk memudahkan aliran elektrik rentas sempadan yang lebih selamat dalam rantau ini.

“Dengan data yang lebih baik dan keterlihatan sistem yang lebih jelas, kami berada dalam kedudukan yang lebih kukuh untuk menyokong aliran tenaga rentas sempadan,” kata Azlan.

ETCon26: Platform Peralihan Tenaga Malaysia

TNB akan menggunakan Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26) sebagai platform untuk membincangkan peranan AI dalam sektor tenaga. Persidangan ini merupakan kesinambungan edisi 2023, di mana Peta Jalan Peralihan Tenaga Kebangsaan (NETR) telah dilancarkan sebagai komitmen Malaysia ke arah sifar karbon bersih menjelang 2050.

Tema ETCon26 tahun ini ialah “Tenaga & AI: Sinergi untuk Peralihan Tenaga”, dengan tiga teras utama:

  • Tenaga untuk AI: Memastikan tenaga bersih menyokong dunia digital
  • AI untuk Tenaga: Menjadikan sistem bekalan kuasa lebih efisien dan boleh dipercayai
  • Peralihan Tenaga untuk Rakyat: Memastikan manfaat peralihan tenaga bersifat inklusif dan meningkatkan kualiti hidup

ETCon26 akan diadakan dari 3 hingga 5 Jun 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan akan hadir ke persidangan berkenaan serta merasmikan majlis tersebut pada hari kedua.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini. 

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments