Apple kini membolehkan peniaga di Malaysia menerima pembayaran tanpa sentuh terus melalui iPhone tanpa perlu beli terminal point of sale (POS) atau peranti tambahan.
Ciri baharu Tap to Pay on iPhone ini bermakna para peniaga sama ada dari gerai tepi jalan mahupun kedai runcit besar boleh mula menerima bayaran menggunakan iPhone yang sedia ada.
Bagaimana Ciri Tap to Pay on iPhone ini berfungsi?
Peniaga hanya perlu memuat turun aplikasi iOS yang menyokong ciri ini pada iPhone 11 atau model yang lebih baharu dengan iOS versi terkini (iOS 26.4.2).
Semasa pelanggan membuat bayaran, mereka cuma perlu menghalakan kad debit atau kredit, iPhone, Apple Watch, atau dompet digital ke arah iPhone peniaga dan teknologi NFC (near-field communication) akan memproses transaksi tersebut secara selamat.
Tiada peranti lain diperlukan. Dan yang lebih menarik lagi, pembayaran boleh diterima dari mana-mana lokasi.
Antara Platform Pembayaran Yang Menyokong Ciri Ini
Lima platform pembayaran yang menawarkan Tap to Pay on iPhone kepada peniaga Malaysia adalah:
- ADAPTIS
- Fiuu
- HitPay
- Stripe
- Zoho
Kad dan Dompet Digital Yang Disokong
Peniaga juga boleh menerima bayaran daripada Apple Pay dan dompet digital yang lain, serta kad kredit dan debit tanpa sentuh daripada rangkaian pembayaran utama berikut:
- American Express
- JCB
- Mastercard
- MyDebit
- UnionPay
- Visa
Siapa Yang Akan Dapat Manfaat Daripada Ciri Ini?
Menurut Apple, sektor runcit, makanan dan minuman, kecantikan serta perkhidmatan profesional sebagai antara industri yang akan menerima manfaat daripada ciri ini.
Syarikat teknologi gergasi dunia itu turut mengesahkan bahawa Tap to Pay on iPhone akan tersedia untuk pembayaran di Apple The Exchange TRX tidak lama lagi.
Bagaimana Pula Dengan Privasi?
Ini merupakan salah satu persoalan yang ramai peniaga dan pelanggan pasti tertanya-tanya. Menurut Apple, semua transaksi disulitkan dan diproses melalui Secure Element pada peranti.
Apple sendiri tidak mengetahui apa yang dibeli atau siapa yang membeli. Nombor kad dan maklumat transaksi tidak disimpan pada peranti mahupun server Apple.
Anda boleh tonton demo cara ia berfungsi di laman web Apple.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.

Boleh di salahguna ni nanti, ibarat iphone tu sebagai “pay wave”, boleh bawa jalan2 dan “tap” ke dompet org yg lalu lalang