Kebakaran di Sandakan: Kerajaan Beri Bantuan RM1,500 Setiap Keluarga, Pelajar Dapat RM300

KONGSI

Siapa sangka, hanya dalam satu malam dan sekelip mata sahaja, lebih 380 keluarga hilang tempat tinggal akibat dijilat api dalam kebakaran yang berlaku di Kampung Bahagia, Sandakan, Sabah pada Ahad lalu (19 April).

Difahamkan, kebakaran itu menyebabkan lebih 1,000 buah rumah musnah. Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut melawat lokasi kejadian dan terus mengumumkan bantuan segera untuk mangsa.

Berapa Banyak Bantuan Yang Akan Diterima?

Setiap keluarga yang terjejas akan menerima RM1,500 daripada Kerajaan Persekutuan. Bantuan ini akan disalurkan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di bawah Jabatan Perdana Menteri bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Walaupun ini bukan penyelesaian jangka panjang, ia adalah tindakan segera. Saya mahu bantuan ini disampaikan dengan cepat, kerana keluarga yang terjejas memerlukan kepastian,” kata Anwar.

Sebelum membuat pengumuman, beliau melawat pusat pemindahan sementara di dewan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Batu Sapi dan meninjau sendiri kawasan yang terbakar di Kampung Bahagia. Turut hadir Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud.

Anak-Anak Mangsa Juga Tidak Terkecuali

Kementerian Pendidikan juga akan memberikan RM300 kepada 454 pelajar dari 12 sekolah di sekitar Sandakan yang turut terjejas. Wang ini khusus untuk membeli baju seragam, buku dan keperluan persekolahan lain.

“Saya bertanya kepada sebahagian pelajar mengapa mereka tidak pergi ke sekolah, dan mereka berkata mereka tidak mempunyai pakaian seragam,” kata Anwar lagi.

Selain bantuan kewangan, pelajar-pelajar ini juga akan:

  • Diberi kelonggaran sementara berkaitan pemakaian seragam
  • Disediakan pengangkutan dari pusat pemindahan ke sekolah, jika perlu
  • Diberi keutamaan untuk kembali ke sekolah secepat mungkin

“Saya tidak mahu mangsa menanggung beban tambahan dan kanak-kanak ini tidak boleh ketinggalan dalam pelajaran mereka,” tegas Anwar.

Kerajaan Akan Terus Beri Tumpuan Kepada Kebajikan Semua Mangsa

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada kebajikan semua mangsa yang terkesan atas dasar kemanusiaan, termasuk mereka yang belum mendaftar.

“Saya juga dimaklumkan bahawa ramai yang belum mendaftar kerana bimbang akan kemungkinan tindakan diambil terhadap mereka. Saya ingin memberi jaminan bahawa, buat masa ini, keutamaan kami adalah keselamatan dan kebajikan mereka,” ujarnya

Beliau turut memuji tindakan pantas kerajaan negeri, pejabat daerah, agensi berkaitan dan NGO dalam menyelaraskan bantuan makanan, pakaian, tempat tinggal sementara serta keselamatan untuk para mangsa.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments