PayNet melaporkan lonjakan besar dalam penggunaan pembayaran digital sepanjang tahun 2025. Jumlah transaksi mencecah 8.44 bilion bersamaan purata 6.3 juta transaksi setiap hari berbanding tahun sebelumnya.
Angka ini merangkumi pelbagai urusan harian seperti beli-belah di kedai runcit, tambang pengangkutan, penghantaran wang antara individu hingga urus niaga perniagaan kecil.
Berdasarkan jumlah tersebut, ia menunjukkan kaedah pembayaran menggunakan guna telefon atau mengimbas kod QR sudah menjadi sebahagian daripada rutin harian rakyat Malaysia.
Bank dan Bukan Bank Sama-sama Semakin Berkembang
Pertumbuhan ini datang dari dua arah. Transaksi melalui bank meningkat 30.69%, manakala institusi bukan bank termasuk dompet digital dan platform fintech mencatat pertumbuhan lebih tinggi iaitu 71.7%.
Ini menunjukkan ekosistem pembayaran digital Malaysia kini lebih luas dan tidak lagi terhad kepada pelanggan bank tradisional semata-mata.
Lebih Tiga Juta Peniaga Mendaftar Pembayaran Guna DuitNow QR Di Seluruh Negara
Sepanjang 2025, sebanyak 681,250 lokasi baharu yang menerima DuitNow QR telah didaftarkan termasuk 267,780 daripada kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). Jumlah keseluruhan lokasi atau peniaga berdaftar di seluruh Malaysia kini melebihi tiga juta.
Yang menariknya, pertumbuhan paling ketara dicatat di Terengganu, Kelantan dan Kedah. Jumlah transaksi di kawasan luar bandar meningkat tiga kali ganda berbanding tahun sebelumnya. Ini menjadi bukti bahawa pembayaran digital bukan hanya di bandar besar sahaja.
Inisiatif Yang Membantu Penggunaan Pembayaran Digital Lebih Luas
Beberapa program turut menyumbang kepada perkembangan ini:
PayNet Digital Campus menggalakkan pelajar, universiti dan komuniti sekitar untuk biasakan diri dengan pembayaran digital dalam kehidupan kampus.
Cashless Boleh pula menyokong penggunaan dalam sektor awam dan kerajaan. Dari bayar bil hingga urusan pejabat kerajaan.
PayNet Fintech Hub menghimpunkan syarikat pemula fintech, institusi kewangan dan rakan ekosistem untuk pacu inovasi dan luaskan akses kepada perkhidmatan kewangan digital.
Penipuan Kewangan Kekal Sebagai Cabaran Utama
Dengan lebih ramai orang beralih kepada pembayaran digital, risiko penipuan turut meningkat. Taktik penipuan kini semakin canggih termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI), deepfake dan kejuruteraan sosial (social engineering) yang sukar dikesan.
Susulan itu, PayNet membangunkan National Fraud Portal (NFP) iaitu sebuah platform berpusat yang membolehkan institusi kewangan berkongsi maklumat, mempercepatkan pengesanan akaun palsu dan menyelaraskan tindakan terhadap jenayah penipuan.
PayNet turut menyokong Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) bagi memastikan aduan penipuan ditangani dengan pantas.
Pada 2025, usaha ini berjaya mengesan kira-kira 57,700 akaun mangsa dengan RM46 juta dana yang sedang dalam proses dipulangkan kepada mangsa.
Dari segi keupayaan sistem, rangkaian PayNet memproses purata 260 transaksi sesaat dengan tahap ketersediaan perkhidmatan 99.995% bagi memastikan sistem berjalan lancar walaupun semasa waktu puncak.
DuitNow QR Kini Boleh Digunakan di Kemboja
Selain pertumbuhan domestik, PayNet turut mengembangkan liputan pembayaran rentas sempadan. Pada 2025, hubungan QR baharu dengan Kemboja telah diperkenalkan, melengkapi rangkaian sedia ada dengan Singapura, Thailand, Indonesia dan China. India pula dijangka menyertai rangkaian ini pada 2026.
Perkembangan ini datang pada masa yang tepat iaitu menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 yang dijangka membawa masuk lebih ramai pelancong asing, terutama dari China dan India.
Transaksi QR rentas sempadan sendiri sudah meningkat 2.5 kali ganda kepada 29.7 juta transaksi pada 2025. Bagi PMKS dalam sektor peruncitan, makanan dan minuman, serta pelancongan, ini bermakna lebih ramai pelanggan antarabangsa yang boleh membayar terus menggunakan dompet digital negara masing-masing.
Ketua Pegawai Eksekutif PayNet, Praveen Rajan berkata, pertumbuhan ini mencerminkan perubahan dalam cara rakyat Malaysia menguruskan wang harian mereka. PayNet kekal komited untuk memastikan infrastruktur pembayaran negara kekal stabil, selamat dan mudah diakses di seluruh pelusuk negara.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
