ASNB melancarkan kempen Pandu Impianmu 2.0 pada 1 April 2026, menawarkan hadiah bernilai RM875,000 termasuk lapan buah kereta baharu kepada pemegang unit yang aktif melabur. Kempen ini berjalan sehingga 31 Mac 2027.
Kempen ini merupakan edisi kedua bagi jenama kempen Pandu Impianmu, menyusuli edisi pertama terdahulu, Pandu Impianmu, Gen Labur!.
Setiap RM500 Bersamaan Satu Tiket
Menurut terma dan syarat [PDF] rasmi ASNB, anda hanya perlu melabur minimum RM500 dalam satu transaksi bagi mana-mana dana ASNB untuk mendapatkan satu tiket, tanpa had berapa banyak tiket yang boleh anda kumpul. Labur melalui portal atau aplikasi myASNB, termasuk Robo Investment Advisor (RIA), dan anda akan mendapat tiket berganda untuk jumlah pelaburan yang sama. Contohnya, pelaburan RM1,000 melalui cawangan atau ejen bagi anda dua tiket, tetapi membuat transaksi yang sama melalui myASNB atau RIA dan anda akan mendapat empat tiket.
Hampir semua kaedah pelaburan anda disertakan, termasuk tunai, pembiayaan bank, Skim Pelaburan Ahli KWSP (SPA-KWSP), Skim Potongan Gaji (SPG), Arahan Tetap Bank (SI), Auto Labur, ASNB Financial Planning Solution Package (FPSP) dan ASB Plus, kecuali transaksi agihan pendapatan, penukaran dan pemindahan. Syaratnya, jumlah pelaburan anda mesti melebihi jumlah pengeluaran anda dengan minimum RM500 sepanjang tempoh berkenaan, atau anda boleh hilang kelayakan walaupun sudah mengumpul tiket.
Cara Untuk Anda Mendaftar
Anda hanya perlu mendaftar sekali sahaja sepanjang tempoh kempen, sama ada dengan mengisi borang pendaftaran secara dalam talian menerusi laman sesawang ASNB, atau masukkan kod rujukan GENLABUR semasa anda membuat pelaburan melalui portal atau aplikasi myASNB.
Kempen ini terbuka kepada semua pemegang unit ASNB sedia ada dan baharu, sama ada Akaun Dewasa atau Akaun Remaja.
Anda tidak layak menyertai sekiranya anda:
- kakitangan, atau pasangan dan anak kakitangan
- kumpulan syarikat PNB, termasuk ASNB sendiri
- Pelaburan Hartanah Nasional Berhad
- PNB Merdeka Ventures
- PNB Research Institute
- PNB Commercial
- Attana Hospitality Group, dan mana-mana syarikat atau entiti lain yang dibenarkan oleh Lembaga Pengarah PNB
Lapan Kereta Dan Hadiah Lain Yang Ditawarkan
Kempen ini dipecahkan kepada dua pusingan cabutan, masing-masing dengan tawaran hadiah tersendiri.
Cabutan 1 meliputi pelaburan anda dari 1 April hingga 30 September 2026:
| Kategori | Hadiah | Bilangan Pemenang |
| Hadiah Pertama | Proton e.MAS 7 PHEV (Premium) | 1 |
| Hadiah Kedua | Perodua Bezza 1.3X (Automatic) | 3 |
| Hadiah Ketiga | Penginapan 3H2M di Hard Rock Hotel Penang & 3H2M di Hard Rock Hotel Desaru Coast | 10 |
| Hadiah Keempat | RM1,000 Touch ‘n Go eWallet Reload PIN | 50 |
Cabutan Utama pula meliputi keseluruhan tempoh pelaburan anda sehingga 31 Mac 2027:
| Kategori | Hadiah | Bilangan Pemenang |
| Hadiah Pertama | BMW 320i M Sport | 1 |
| Hadiah Kedua | Perodua Bezza 1.3X (Automatic) | 3 |
| Hadiah Ketiga | RM5,000 Kad Hadiah Petronas | 5 |
| Hadiah Keempat | Penginapan 3H2M di Hard Rock Hotel Penang & 3H2M di Hard Rock Hotel Desaru Coast | 10 |
| Hadiah Kelima | RM1,000 Touch ‘n Go eWallet Reload PIN | 50 |
Anda boleh menang untuk kedua-dua jenis cabutan, tetapi terdapat satu had. Sekiranya anda sudah menang Hadiah Pertama atau Kedua, anda tidak layak menang kategori sama sekali lagi. Kereta yang anda bakal menangi didatangkan dengan pendaftaran, cukai jalan tahun pertama dan perlindungan insurans. Semua hadiah tidak boleh anda pindah milik atau tukar dengan wang tunai.
Bagaimana ASNB Menghubungi Anda Jika Menang
Selepas tempoh pelaburan berkenaan tamat, ASNB akan memilih pemenang secara rawak melalui sistem komputer. Bagi hadiah kereta, ASNB akan menelefon anda dalam masa 30 hari kalendar, dan anda hilang kelayakan sekiranya gagal dihubungi selepas tiga percubaan atau enggan menerima hadiah.
Kad Hadiah Petronas dan penginapan Hard Rock Hotel pula dihubungi melalui e-mel atau saluran komunikasi lain yang sesuai dalam tempoh sama, dan kemenangan boleh dibatalkan sekiranya anda tidak membalasnya dalam 30 hari. PIN Tambah Nilai Touch ‘n Go pula dihantar ke e-mel berdaftar anda dalam tempoh 30 hari kalendar selepas tempoh pelaburan tamat, tanpa perlu sebarang tindakan balas.
Pemenang dikehendaki hadir majlis penyampaian hadiah sekiranya ada, dan hadiah akan hangus tanpa pampasan sekiranya tidak dapat hadir. Semua kos berkaitan tuntutan hadiah, termasuk pengangkutan, penginapan dan cukai kerajaan yang dikenakan, ditanggung sendiri oleh pemenang.
Perlu diingatkan, kemenangan hadiah kempen ini bergantung sepenuhnya kepada cabutan bertuah dan bukan jaminan. Keputusan untuk melabur perlu berasaskan keperluan kewangan anda sendiri, bukan semata-mata untuk menyertai kempen ini.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
