Maybank baru sahaja melancarkan Savings+ pada 8 September 2026, satu ciri pelaburan pasaran wang baharu di aplikasi MAE yang bagi anda melabur duit lebihan tanpa perlu menggunakan platform atau aplikasi pelaburan yang berasingan.
Menerusi Savings+, anda boleh melabur dalam dana pasaran wang patuh Syariah yang diuruskan oleh Maybank Asset Management Sdn Bhd. Dana ini meletakkan duit anda dalam aset mudah tunai dan pelaburan jangka pendek, dengan potensi pulangan sehingga 3.32% setahun setakat 30 Jun 2026.
RM10 Sudah Boleh Mula, Pulangan Masuk Setiap Bulan
RM10 sudah cukup untuk anda mula melabur. Pulangan anda dikira setiap hari dan dikreditkan ke akaun anda setiap bulan. Tiada tempoh penguncian dikenakan. Anda boleh keluarkan duit anda bila-bila masa, cuma urus niaga pelaburan dan pengeluaran mengambil masa purata dua hari bekerja untuk diproses.
Anda boleh mendaftar, buat pelaburan, dan pantau prestasinya terus dalam aplikasi MAE. Anda juga boleh tetapkan pelaburan automatik bulanan supaya duit lebihan anda terus dilaburkan tanpa perlu buat secara manual.
Mahu Jadikan Pelaburan Semudah Perbankan Harian
Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti Malaysia, Mohd Amri bin Mohd Sofian berkata, pihaknya yakin bahawa pelaburan seharusnya semudah urusan perbankan harian dan mudah diakses oleh semua. “Melalui Savings+, pelanggan boleh memulakan pelaburan mereka serendah RM10 sambil menguruskan wang mereka menerusi aplikasi MAE yang sememangnya digunakan setiap hari. Ini mencerminkan komitmen kami untuk menginsankan perkhidmatan kewangan melalui pembinaan kekayaan yang mudah, senang diakses, dan relevan bagi semua rakyat Malaysia,” katanya.
Langkah-langkah Untuk Anda Mula Melabur
Untuk mula melabur, buka aplikasi MAE dan pilih ikon “Savings+” di bawah menu “View All“. Ikut arahan di skrin untuk lengkapkan pendaftaran, termasuk Penilaian Kesesuaian, kemudian buat pelaburan permulaan serendah RM10.

Sebahagian Rangkaian Pelaburan Digital MAE
Savings+ menyertai barisan produk pelaburan yang sedia ada untuk anda di MAE, termasuk akaun Maybank Islamic Gold Account-i, Maybank Goal-Based Investment, dan pelaburan ASNB. Bagi Maybank, ini sebahagian daripada aspirasi ROAR30 untuk menjadikan perkhidmatan kewangan pelanggan lebih mudah diakses dan berteraskan keperluan pelanggan menerusi pendigitalan.
Savings+ terbuka kepada pelanggan baharu dan sedia ada Maybank. Maklumat lanjut ada di maybank.my/savingsplus.
Pulangan Berpotensi, Bukan Dijamin
Potensi pulangan ini bukan kadar tetap untuk anda. Pulangan sebenar yang anda terima boleh naik atau turun mengikut keadaan pasaran dan prestasi dana pada masa tersebut. Savings+ membolehkan anda melabur dalam dana pasaran wang, bukan akaun simpanan atau akaun deposit seperti produk perbankan biasa.
Sebelum anda mula melabur, semak dokumen pendedahan produk berkaitan untuk butiran lengkap termasuk fi, risiko, dan tempoh pemprosesan.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
