Jika anda bekerja di kilang, tapak pembinaan atau mana-mana persekitaran yang menghasilkan bunyi bising setiap hari, ini angka yang patut anda tahu. Sebanyak 6,747 kes penyakit pendengaran disahkan membabitkan pekerja di negara ini pada 2024, tertinggi berbanding semua kategori penyakit pekerjaan lain.
JKKP Catat 11,465 Kes Penyakit Pekerjaan Pada 2024
Memetik laporan Bernama, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (JKKP) mencatatkan sejumlah 11,465 kes penyakit pekerjaan pada 2024, dengan 8,196 daripadanya disahkan sebagai penyakit pekerjaan sebenar. Kes pendengaran menyumbang 82.3% daripada jumlah yang disahkan itu.
Timbalan Ketua Pengarah (Kesihatan Pekerjaan) JKKP, Ahmad Jailani Mansor, mendedahkan angka ini ketika berucap pada Majlis Simposium Kesihatan Pekerjaan Zon Pantai Timur 2026 di Kota Bharu pada 8 September 2026.
Senarai Penuh Kes Penyakit Pekerjaan Disahkan Pada 2024
Selain pendengaran, JKKP turut merekodkan penyakit pekerjaan lain pada 2024:
- 820 kes penyakit muskuloskeletal
- 299 kes penyakit akibat agen fizikal
- 203 kes keracunan pekerjaan
- 82 kes penyakit kulit
- 24 kes penyakit agen biologi
- 16 kes penyakit paru-paru
- Tiga kes kanser pekerjaan
- Dua kes gangguan psikososial
JKKP Menyeru Agar Langkah Pencegahan Diperkukuh
Menurut Ahmad Jailani, langkah-langkah pencegahan, pengawalan dan pengurusan risiko kesihatan pekerjaan perlu terus diperkukuh bagi memastikan kesejahteraan pekerja sentiasa terpelihara meskipun cabaran berkaitan kesihatan pekerjaan turut menjadi semakin kompleks.
Kes Disahkan Ini Berpotensi Untuk Layak Membuat Tuntutan Pampasan PERKESO
Pekerja yang disahkan menghidap penyakit pekerjaan seperti dalam statistik JKKP di atas mungkin layak membuat tuntutan di bawah Skim Bencana Pekerjaan PERKESO.
Mengikut Seksyen 28 Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969, penyakit khidmat dalam kategori pekerjaan yang disenaraikan dalam Jadual Kelima disifatkan sebagai bencana kerja, dan tuntutan masih sah jika penyakit itu timbul dalam tempoh 60 bulan selepas berhenti kerja. Kelayakan bukan automatik untuk semua pekerja atau semua jenis pendedahan bising, pekerja gig atau bekerja sendiri pula tertakluk kepada skim berasingan (LINDUNG KENDIRI).
Tuntutan yang diluluskan meliputi rawatan perubatan percuma, faedah hilang upaya, dan bantuan pemulihan. Jika anda mengesyaki masalah pendengaran atau penyakit lain berkaitan kerja, dapatkan pengesahan doktor dan hubungi PERKESO secara terus untuk pengesahan kelayakan anda. Kelayakan sebenar bergantung kepada penilaian PERKESO bagi setiap kes.
Anda juga boleh semak artikel RinggiPlus berkaitan manfaat dan perlindungan yang anda boleh dapat menerusi potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan PERKESO untuk mengetahui dengan lebih lanjut.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
