Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memastikan semua projek perumahan di seluruh negara akan disiapkan mengikut jadual, walaupun krisis tenaga global akibat konflik di Asia Barat masih berlanjutan.
Menteri KPKT, Nga Kor Ming berkata, mesyuarat bersama pihak berkepentingan akan diadakan tidak lama lagi bagi membincangkan langkah-langkah untuk memastikan sasaran pembinaan tercapai.
Syarat Projek Perumahan Akan Dilonggarkan
Menurutnya, KPKT sedang bekerjasama dengan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda), Persatuan Kontraktor Utama Malaysia (MBAM) dan beberapa pihak lain untuk memastikan projek yang dirancang dapat berjalan mengikut jadual.
“Sebab itulah satu mesyuarat akan diadakan tidak lama lagi. Saya telah mengarahkan Jabatan Perumahan Negara untuk melonggarkan sedikit syarat-syarat serta memudahkan lagi projek perumahan. Terutamanya projek perumahan mampu milik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis Sentuhan Kasih Aidilfitri di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan pada Sabtu lalu, sebagai respons kepada kebimbangan pembeli rumah yang risau projek mereka mungkin tertangguh.
Subsidi RM20,000 untuk Rumah Mesra Rakyat Kekal
Bagi golongan berpendapatan rendah, Nga mengesahkan subsidi RM20,000 untuk projek Rumah Mesra Rakyat (RMR) di bawah SPNB akan dikekalkan.
Ini bermakna, pembeli hanya perlu membayar RM55,000 seunit, berbanding kos sebenar sebanyak RM75,000. Kerajaan menetapkan sasaran 6,545 unit RMR untuk ditawarkan pada tahun ini.
Subsidi Masih Diteruskan, Tiada Alasan Pemaju Perlu Naikkan Harga Rumah
Sebelum ini, Nga menegaskan bahawa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan terus komited dalam memastikan harga rumah mampu milik kekal stabil walaupun kos bahan binaan di pasaran global terus meningkat.
Nga mengingatkan bahawa kerajaan kini membelanjakan RM4 bilion sebulan untuk subsidi bahan api, termasuk untuk kenderaan pengangkut bahan binaan.
“Mereka masih lagi menerima harga subsidi setiap hari. Harga bahan api mereka masih jauh lebih rendah,” katanya
Jika anda merupakan individu yang tidak memiliki pendapatan tetap dan berhasrat untuk memiliki rumah pertama. Artikel kami tentang Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) boleh membantu anda.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
