Ramai perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia yang berdaya maju, tetapi penilaian kredit konvensional tidak nampak potensi sebenar mereka. Kebiasaannya, perniagaan baharu akan mengalami kekurangan rekod kredit. Perniagaan yang tidak banyak aset pula sukar untuk mendapat pinjaman walaupun prestasi sebenar mereka bagus.
Bagi mengatasi jurang ini, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) melancarkan skim jaminan bernilai RM10 bilion, bagi membantu lebih ramai PKS berdaya maju dapat akses pembiayaan yang selama ini sukar diperoleh.
Kenapa Perniagaan Anda Boleh Ditolak Walaupun Berdaya Maju
Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour, menjelaskan sebabnya dalam ucapan sempena Anugerah CGC ke-31 pada 11 Ogos 2026. “Perniagaan ini tidak semestinya tidak berdaya maju. Mereka mungkin sekadar kurang berdaya maju apabila dinilai melalui lensa penilaian kredit tradisional, dan di sinilah jaminan serta perkongsian risiko boleh memberi perbezaan yang bermakna,” katanya.
Bank sering menilai perniagaan berdasarkan cagaran dan penyata kewangan semata-mata, sedangkan model perniagaan PKS kini sudah banyak berubah.
Jaminan Bukan Bermakna Bank Boleh Longgarkan Piawaian
Anda mungkin risau skim jaminan ini bermakna bank akan mengambil risiko secara membuta tuli. Sebenarnya tidak. Jaminan tidak menghapuskan risiko atau melemahkan piawaian kredit. Ia cuma berkongsi risiko antara bank dan penjamin dengan lebih adil. Bank tetap perlu membuat penilaian kredit yang teliti, memantau pelanggan dan bertindak awal jika perniagaan mula bermasalah.
Nilai sebenar sesuatu jaminan tidak diukur daripada jumlah pembiayaan yang disokong. Ia diukur dari sama ada perniagaan berdaya maju yang dulu ditolak, kini berjaya dapat pembiayaan.
Enam Skim Jaminan, Dari Inklusi Kewangan Hingga Iklim
Skim Jaminan BNM-CGC telah dibuka untuk permohonan sejak 1 Jun 2026. Ia direka khas untuk mikroperusahaan, syarikat permulaan, serta firma yang melabur dalam kelestarian, inovasi, sektor strategik, keselamatan makanan dan daya tahan luaran. Skim ini merangkumi enam skim jaminan portfolio. Antaranya meliputi bidang inklusi kewangan, iklim dan kelestarian, serta produktiviti dan daya tahan perniagaan.
Sebagai panduan, jika perniagaan anda berada dalam mana-mana bidang ini, sebaiknya semak terus dengan bank atau CGC sama ada anda layak atau tidak. Abdul Rasheed turut meminta bank untuk mengubah cara mereka menilai perniagaan, jangan hanya fokus pada perniagaan biasa, cagaran konvensional dan sektor yang sudah mantap sahaja, terutama ketika Malaysia sedang bergerak naik dalam rantaian nilai.
Bank juga digalakkan untuk menyalurkan lebih banyak pembiayaan untuk aktiviti seperti peralihan iklim, penyelidikan dan pembangunan, pembangunan prototaip, inovasi proses dan teknologi. Aktiviti sebegini sering kurang difahami, jadi kurang dibiayai. Jaminan boleh beri bank keyakinan untuk bina kepakaran dalam bidang ini.
Data Perniagaan Anda Boleh Bantu, Tapi Bukan Ganti Penilaian Kredit
Cagaran dan penyata kewangan masih penting. Namun, Abdul Rasheed berkata ia tak sepatutnya jadi satu-satunya penentu sama ada perniagaan anda layak dibiayai. Aliran tunai, rekod transaksi, invois elektronik, corak pembayaran dan maklumat rantaian bekalan anda boleh beri gambaran lebih jelas tentang cara perniagaan anda sebenarnya beroperasi.
“Jika digunakan secara bertanggungjawab, analitik data boleh menyokong penilaian yang lebih lengkap bagi perniagaan thin-file, asset-light dan berorientasikan inovasi,” katanya.
Namun begitu, data ini perlu melengkapkan penilaian kredit sedia ada, bukan menggantikannya sepenuhnya. BNM turut bekerjasama dengan CGC dan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan, dengan sokongan teknikal daripada Bank Dunia, untuk perkukuh rangka kerja jaminan kredit negara secara keseluruhan.
Matlamatnya, kata Abdul Rasheed, adalah untuk selaras dan sasarkan jaminan dengan lebih baik, perkukuh penggunaan data, serta pastikan rangka kerja ini kekal mampan dari segi kewangan dalam jangka panjang.
BNM Sasar Lebih Ramai PKS Jadi Syarikat Mid-Tier
Dalam ucapan yang sama di Anugerah CGC ke-31, Abdul Rasheed turut menyentuh matlamat yang lebih besar iaitu membina lebih ramai PKS menjadi syarikat mid-tier yang lebih kukuh. “Malaysia memerlukan lebih banyak PKS yang boleh berkembang menjadi syarikat mid-tier yang lebih kukuh. Kita mahu PKS menjadi tunjang rantaian bekalan domestik. Kita mahu PKS yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya.
Menurut laporan Business Today, PKS kini menyumbang kira-kira 40% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dan hampir separuh daripada jumlah guna tenaga negara. Laporan yang sama turut menyebut, sejak ia ditubuhkan, CGC telah memudahkan lebih RM103 bilion jaminan dan pembiayaan kepada lebih 544,000 PKS di seluruh negara.
Bukan Sekadar Salurkan Duit, Tapi Bina Perniagaan Kukuh
Abdul Rasheed menegaskan kejayaan skim ini tidak boleh diukur dari jumlah kredit yang disalurkan sahaja. Yang penting, adakah perniagaan itu jadi lebih produktif, inovatif dan berdaya saing selepas dapat pembiayaan. “Matlamat kami bukan sekadar menyokong lebih banyak pembiayaan. Ia adalah untuk menyokong perniagaan yang lebih kukuh,” katanya.
Beliau turut menegaskan jaminan sepatutnya berfungsi sebagai jambatan untuk perniagaan berdaya maju membina rekod prestasi, keyakinan dan keupayaan mereka, sebelum beralih ke ekosistem pembiayaan arus perdana.
Jika berjaya, skim jaminan RM10 bilion ini bukan sahaja akan dinilai dari jumlah pembiayaan yang dihasilkan. Ia turut akan dinilai dari perniagaan yang berjaya ditransformasikannya menjadi lebih berdaya saing dan menyumbang kepada ekonomi negara.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
