Harga Rasmi Tiket F1 Sepang 2026, Pemegang MyKad Layak Dapat Harga Bermula RM200

KONGSI

Harga tiket Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Sepang kini disahkan rasmi oleh Bahrain International Circuit (BIC), pihak yang mengendalikan jualan tiket acara ini. Bagi anda yang memiliki MyKad, anda boleh mendapatkan tiket tiga hari bermula RM200 sahaja, dan tiket kini boleh dibeli melalui BIC, sama ada dalam talian atau talian panggilan.

Harga ini kini disahkan d laman rasmi BIC, sehari selepas angka yang sama mula tular di media sosial dan komuniti F1 tempatan sebagai “harga bocor”. Semua enam kategori tiket untuk perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang pada 2 hingga 4 Oktober 2026 kini telah rasmi .

Harga Rasmi Tiket F1 Sepang Untuk Pemegang MyKad

Berikut merupakan harga rasmi dan jenis pengalaman bagi setiap kategori tiket, sudah termasuk cukai:

Kategori TiketPengalamanHarga (Termasuk Cukai)
G HillstandRumput / Ruang TerbukaRM200
B HillstandRumput / Ruang TerbukaRM809.60
C HillstandRumput / Ruang TerbukaRM809.60
F GrandstandTempat Duduk dan RooftopRM1,291.40
K1 GrandstandTempat Duduk dan RooftopRM1,386
Main GrandstandTempat Duduk dan RooftopRM2,083.40

G Hillstand kekal menjadi pilihan tiga hari paling murah untuk anda yang mahukan penjimatan, walaupun anda hanya duduk di kawasan rumput terbuka. Anda yang mahu pengalaman lebih premium dengan tempat duduk dan akses atas bumbung pula perlu sediakan lebih RM2,000 untuk tiket Main Grandstand.

Transaksi tiket MyKad ini diproses dalam Dinar Bahrain mengikut kadar tukaran semasa. Ini bermakna jumlah sebenar yang dicaj pada kad anda boleh berbeza sedikit daripada harga Ringgit yang dipaparkan, bergantung pada kadar tukaran pada hari transaksi dibuat.

Harga Untuk Peminat Antarabangsa

Kalau anda ada rakan atau saudara dari luar negara yang mahu menonton perlawanan ini, BIC turut menyediakan kategori harga berasingan dalam Dolar Amerika Syarikat untuk peminat bukan warganegara Malaysia:

Kategori TiketHarga (Termasuk Cukai)
B HillstandUSD218.90
C HillstandUSD218.90
F GrandstandUSD376.39
K1 GrandstandUSD350.13
Main GrandstandUSD566.05

Untuk makluman, harga dalam Dolar AS ini boleh berbeza sedikit bergantung pada bila anda semak portal BIC. Kami syorkan anda semak semula harga yang tepat di portal rasmi BIC sebelum membuat pembayaran. 

Siapa Layak Untuk Dapat Harga MyKad

Kadar istimewa ini terhad khas untuk rakyat Malaysia sahaja. BIC mengesahkan satu proses pengesahan akan dijalankan, jadi anda perlu bersedia menunjukkan MyKad sah semasa proses pembelian. Kalau tiket diskaun anda tidak dipadankan dengan MyKad yang sah, atau tidak memenuhi syarat kelayakan, tiket tersebut akan terus dibatalkan.

Anak anda berusia tiga hingga enam tahun layak mendapat diskaun 25%, kecuali untuk kategori G Hillstand. Anak di bawah usia tiga tahun pula boleh masuk secara percuma, tetapi anda tidak akan mendapat tempat duduk khas untuk mereka.

Macam Mana Nak Beli Tiket

Tiket untuk pemegang MyKad dan peminat antarabangsa dijual berasingan di portal rasmi BIC. Sebagai langkah berjaga-jaga, RinggitPlus menasihatkan anda supaya hanya beli tiket melalui pautan rasmi BIC atau Litar Antarabangsa Sepang (SIC), dan elakkan mana-mana pihak ketiga yang menjual tiket di luar saluran rasmi ini.

Ketika artikel ini ditulis (14 Ogos 2026), BIC memaklumkan bahawa portal tiket sedang mengalami permintaan yang sangat tinggi, menyebabkan gangguan pada pengalaman pengguna semasa proses pembelian dalam talian. Buat masa ini, anda masih boleh beli tiket melalui pusat panggilan rasmi BIC di talian +973 17450000, sementara pihak BIC bekerja untuk membaiki isu tersebut. Ikuti saluran media sosial rasmi BIC untuk kemas kini bila tiket akan boleh dibeli semula secara dalam talian. 

Bagaimana Harga Bocor Ini Jadi Rasmi

Angka yang mula-mula tular pada 12 Ogos 2026 sebenarnya sudah tepat sama dengan harga rasmi yang kemudiannya disahkan BIC keesokan harinya. Sebelum pengesahan rasmi ini, laporan awal Business Today turut mengesan perbincangan di Reddit yang memaparkan notis kelayakan MyKad dan kategori tiket yang serupa, walaupun pautan tiket yang dikongsi ketika itu tidak lagi dapat diakses.

Kenapa Harga MyKad Bergantung Kepada Bahrain 

Sebelum harga rasmi diumumkan, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif, pernah mendedahkan pada Julai 2026 bahawa harga tiket bagi perlumbaan sekali sahaja ini akhirnya bergantung kepada keputusan Bahrain.

Azhan ketika itu berkata SIC sedang berunding untuk mendapatkan kadar lebih mampu milik untuk rakyat Malaysia, termasuk kemungkinan harga khas MyKad. Beliau turut menegaskan Bahrain yang memegang kata putus kerana pihak Bahrain yang menanggung yuran hak penganjuran F1 dan bakal menerima hasil jualan tiket.

Bagaimana F1 Sepang 2026 Ini Bermula

Formula 1 dan FIA mengesahkan pada 26 Julai lalu bahawa Sepang akan jadi tuan rumah Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia. Ketika itu, F1 kata maklumat jualan tiket akan diumumkan tidak lama lagi. Perlumbaan ini diadakan bagi menggantikan Grand Prix Bahrain yang dibatalkan daripada tarikh asal pada April 2026. Dalam kalendar 2026, Sepang kini tersenarai sebagai Pusingan 16, di antara Grand Prix Azerbaijan dan Singapura.

Kalau anda peminat F1 yang nak ke Sepang, tiket kini rasmi boleh diperoleh melalui BIC, sama ada dalam talian atau talian panggilan susulan gangguan semasa portal ketika ini. 

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini. 

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen