TNG eWallet Kini Boleh Digunakan Untuk Pembayaran Di Shopee

KONGSI

TNG Digital kini membolehkan pengguna TNG eWallet membuat pembayaran secara terus di aplikasi Shopee menerusi DuitNow QR sepanjang tempoh promosi, bermula 11 Ogos sehingga 31 Disember 2026. Anda perlu memastikan aplikasi TNG eWallet anda sudah dikemaskini kepada versi 1.9.9 atau ke atas. Pembayaran ini dibuat menerusi kod QR semasa proses pembayaran.

Kaedah Share to TNG eWallet

Semasa proses pembayaran di Shopee, pilih “DuitNow QR” di bawah Other Payment Methods. Tangkap layar kod QR yang muncul, klik ikon Share, dan pilih TNG eWallet daripada senarai aplikasi. Semak jumlah bayaran, tekan Pay, dan selesai.

Kaedah Universal Scan

Pilih “DuitNow QR” semasa proses pembayaran seperti biasa. Buka fungsi Scan dalam TNG eWallet dan imbas kod QR pada skrin. Sahkan bayaran dan tekan Pay untuk menyelesaikan transaksi.

Kedua-dua kaedah di atas akan memaparkan jumlah bayaran dan Shopee Marketplace sebagai peniaga sebelum anda sahkan. Pastikan jumlah itu sepadan dengan jumlah pesanan anda sebelum tekan Pay.

Pulangan Tunai Tambahan Menerusi Shop & Earn

Selain membayar dengan TNG eWallet, anda juga boleh mendapatkan pulangan tunai 1% untuk pesanan Shopee yang layak, dihadkan pada RM6.67 setiap pesanan. Pulangan tunai ini datang daripada Shop & Earn, ciri berasingan dalam TNG eWallet.

Untuk mendapatkan pulangan tunai ini, anda perlu mengosongkan troli Shopee anda, tutup aplikasi Shopee, kemudian buka semula Shopee menerusi halaman Shop & Earn dan lengkapkan pembelian dari situ. Langkah ini perlu diulang untuk setiap pesanan. Sekiranya bayaran anda gagal separuh jalan, mulakan semula lawatan dari halaman Shop & Earn dan bukan cuba semula terus di Shopee.

Penggunaan ad blocker, VPN, atau pautan pihak ketiga seperti iklan Facebook dan Google turut boleh menyebabkan pulangan tunai anda gagal dikesan, dan anda perlu terima semua cookies pada halaman Shopee untuk pembelian direkodkan. Setelah pesanan selesai, pembelian akan dikesan dalam masa dua hari dan pulangan tunai disahkan dalam masa 14 hari. Kadar yang anda lihat semasa ia mula-mula dikesan mungkin diselaraskan semula selepas butiran transaksi disahkan.

Pembelian Yang Tidak Layak Untuk Dapat Pulangan Tunai

Barangan digital, bayaran telco dan utiliti, baucar, tempahan perjalanan, derma, pembelian tiket wayang dan acara, perkhidmatan tempatan, pelaburan, serta transaksi ShopeePay Near Me tidak layak untuk cashback ini. Produk Shopee LIVE, item harga streaming, dan pembelian menggunakan kod promo atau baucar yang tidak ditampilkan di platform turut dikecualikan.

Bagi pesanan yang layak pula, pulangan tunai hanya dikira berdasarkan harga item sahaja. Yuran, cukai, caj perkhidmatan, dan kos penghantaran semuanya ditolak sebelum kadar 1% dikira.

Pembatalan atau pemulangan pesanan turut menjejaskan cashback anda. Pembelian yang ditolak, dibatalkan, dikembalikan wang, ditukar, atau dipulangkan tidak layak untuk cashback, dan jika anda memulangkan sebahagian sahaja daripada pesanan, cashback anda akan dikira semula berdasarkan item yang anda kekalkan.

Terma dan syarat promosi ini terpakai, dan tawaran ini hanya berlangsung buat tempoh terhad sehingga 31 Disember 2026. Untuk maklumat penuh, rujuk laman rasmi TNG eWallet.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.  

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen