BNM Perkenal Klausa “No Look-Back”, Tuntutan Insurans Anda Tak Boleh Ditolak Sesuka Hati Lagi

KONGSI

Bank Negara Malaysia (BNM) sedang menyiapkan satu perubahan besar dalam industri insurans iaitu dengan memperkenalkan klausa “no look-back” di bawah pelan Insurans dan Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT) Asas yang dicadangkan.

Klausa ini menyebabkan pihak syarikat insurans tidak boleh lagi menolak tuntutan anda semata-mata kerana keadaan perubatan sedia ada (pre-existing conditions).

Apa Itu Klausa “No Look-Back“?

Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour, menjelaskan bahawa setelah tempoh perlindungan berterusan dipersetujui, pengendali insurans dan takaful tidak lagi boleh:

  • Menolak tuntutan atas sebab pre-existing conditions
  • Menafikan tuntutan kerana maklumat perubatan yang tidak didedahkan sebelum ini

“Bagi pemegang polisi, ini memberikan kepastian dan keyakinan jangka panjang bahawa perlindungan mereka akan terpelihara pada ketika mereka memerlukannya,” kata Abdul Rasheed.

Kenapa Pelan Ini Dilaksanakan?

Pelan MHIT Asas direka untuk menangani masalah yang sering dilanda oleh pemilik insuransh iaitu tuntutan ditolak atas alasan teknikal.

Pengendali insurans dan takaful (ITO) beroperasi berdasarkan model pengumpulan risiko (risk-pooling). Premium dikutip daripada ramai pemegang polisi untuk membentuk dana bersama bagi menampung kos rawatan yang tidak menentu.

Selama ini, ITO mengecualikan pre-existing conditions bagi mencegah orang ramai mendapatkan perlindungan hanya setelah jatuh sakit. Menurut Abdul Rasheed, jika perkara ini dibiarkan, ia akan meningkatkan tuntutan dan menolak premium ke tahap yang tidak mampu ditanggung termasuk oleh pelanggan yang sihat sekalipun.

Siapa Yang Dapat Manfaat Dari Pelan MHIT Ini?

Pelan MHIT Asas dilaksanaan khusus untuk meluaskan akses perlindungan perubatan. Ini termasuk bagi mereka yang mempunyai pre-existing conditions yang stabil dan terkawal serta golongan yang selama ini sukar mendapat perlindungan insurans.

Walau bagaimanapun, BNM kini masih memuktamadkan mekanisme pelan ini bersama pakar perubatan dan pihak industri, merangkumi aspek seperti tempoh menunggu dan peraturan pengunderaitan (underwriting) yang seragam. Butiran penuh akan diumumkan sebelum pelan ini dilancarkan.

Bila Ia Akan Bermula?

Projek perintis pelan MHIT Asas dijadualkan pada separuh kedua 2026, sebelum pelancaran penuh pada 2027.

Fasa perintis ini akan menguji kesediaan keseluruhan ekosistem termasuk sektor insurans, takaful, dan hospital swasta. Ia juga akan membantu mengenal pasti isu teknikal dan mengumpul maklum balas pengguna.

“Sebarang pelarasan yang diperlukan terhadap struktur produk, manfaat, atau jadual pelaksanaan akan dibuat bagi memastikan pelancaran penuh berjalan lancar,” tambah Abdul Rasheed.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments