Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) akan bekerjasama dengan anak syarikatnya untuk memastikan bekalan petrol dan diesel kekal mencukupi meskipun di saat permintaan domestik terus melebihi bekalan tempatan akibat konflik yang berterusan di Asia Barat.
Syarikat minyak dan gas negara itu menegaskan pihaknya akan memanfaatkan rantaian nilai bersepadunya bagi memastikan bekalan tidak terganggu sekali gus mengutamakan keterjaminan tenaga dan kesejahteraan rakyat Malaysia.
PETRONAS Kawal Hampir 50% Pasaran
Melalui rantaian nilai bersepadunya, PETRONAS menyokong penguasaan pasaran hampir 50% sehingga Mei ini. Baki bekalan pula ditampung oleh syarikat-syarikat minyak lain yang beroperasi di Malaysia.
PETRONAS turut menegaskan pihaknya akan terus bekerjasama erat dengan kerajaan dan pihak berkepentingan. Bagi mengurus sebarang kemungkinan gangguan bekalan yang mungkin berlaku untuk memastikan rantaian bekalan kekal stabil walaupun dalam keadaan global yang tidak menentu.
Kenapa Malaysia Terkesan Walaupun Negara Pengeluar Minyak?
Malaysia sememangnya salah sebuah negara pengeluar minyak, akan tetapi hampir 40% keperluan minyak mentah negara melalui Selat Hormuz. Bila laluan kritikal itu terganggu akibat konflik Asia Barat, kita turut merasai tempiasnya.
Sejak krisis tercetus, harga minyak mentah global telah melonjak hampir 40%. Kenaikan ini membawa kesan berantai termasuk kos perkapalan global, premium insurans dan logistik penghantaran turut meningkat secara mendadak. Gabungan semua faktor ini memberikan tekanan kepada jaminan bekalan bahan api negara.
PETRONAS turut menggesa pihak industri dan orang awam agar menggunakan tenaga dengan lebih cekap. Mengambil kira ketidaktentuan tempoh serta kesan sebenar konflik ini yang masih belum dapat dijangka.
Jangan Panik, Jangan Sorok Minyak
Pada masa sama, PETRONAS turut menggesa orang ramai agar tidak membuat pembelian panik minyak petrol dan diesel atau menyembunyikan stok bahan api terbabit.
Tindakan membuat pembelian secara berlebihan ketika waktu krisis hanya akan mewujudkan kekurangan buatan yang tidak perlu, lalu memburukkan lagi keadaan yang sedang cuba diurus dengan baik. Bekalan ada, cuma ia perlu diagih dengan teratur dan bertanggungjawab.
Kuota RON95 Dikurangkan, Harga Kekal RM1.99
Pada awal bulan ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan Malaysia mempunyai bekalan petrol yang mencukupi untuk mengekalkan harga subsidi sekurang-kurangnya sehingga Mei.
Namun sebagai langkah berjaga-jaga, kuota bulanan RON95 bersubsidi telah dikurangkan minggu lepas daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan. Pengurangan ini merupakan langkah interim bagi menangani impak konflik di Asia Barat yang masih berterusan.
Harga RON95 kekal pada RM1.99 seliter, dan kuota baharu dijangka mula berkuat kuasa bulan depan.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
