Cukai pendapatan adalah wajib mengikut undang-undang di Malaysia, dan jumlah yang perlu dibayar adalah bergantung kepada jumlah pendapatan bercukai anda bagi tahun berkenaan. Jika ini merupakan kali pertama anda memfailkan cukai, prosesnya lebih mudah daripada apa yang disangkakan. Pendaftaran, persediaan akaun, dan penghantaran borang semuanya boleh dilakukan dalam talian melalui portal MyTax Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Segalanya bermula dengan Borang EA (Form EA), iaitu penyata jumlah gaji tahunan anda. Majikan anda dikehendaki mengemukakannya kepada anda menjelang akhir Februari setiap tahun. Borang ini meringkaskan jumlah pendapatan anda, caruman KWSP dan PERKESO, serta Potongan Cukai Bulanan (PCB) bagi tahun tersebut.
Untuk memfailkannya, anda perlu mendaftar sebagai pembayar cukai dengan LHDN, kemudian menyediakan akaun MyTax bagi mengakses platform e-Filing.
1) Semak TIN Anda dan Daftar Sebagai Pembayar Cukai dengan LHDN

Sebelum memulakan proses e-Daftar, anda perlu semak dahulu sama ada anda sudah mempunyai Nombor Pengenalan Cukai (Tax Identification Number, TIN). Sejak 2023, LHDN secara automatik telah memberikan TIN kepada semua warganegara Malaysia dan individu bermaustatin tetap yang berumur 18 tahun ke atas menggunakan data daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Anda boleh menyemak status TIN anda dengan log masuk ke portal MyTax dan masukkan nombor kad pengenalan anda. Jika anda sudah mempunyai TIN, anda boleh terus ke langkah mengaktifkan sijil digital (Langkah 2).

Jika anda belum mempunyai TIN, pergi ke laman web MyTax dan klik e-Daftar. Isi maklumat yang diperlukan dan laman web tersebut akan memaklumkan bahawa anda belum mempunyai nombor cukai pendapatan. Dari situ, anda akan diminta untuk melengkapkan borang pendaftaran e-Daftar penuh.
Jika anda tidak dapat melengkapkan borang berkenaan pada satu masa, anda dibenarkan untuk menyimpan dan mengisi borang tersebut di kemudian hari. Apabila anda kembali ke halaman e-Daftar, masukkan semula maklumat anda dan klik “Kemaskini Butiran” untuk menyambung semula. Anda juga perlu memuat naik salinan digital MyKad sebagai dokumen sokongan, jadi sediakannya terlebih dahulu.
Setelah menghantar, permohonan anda mungkin terus diluluskan serta-merta (anda akan mendapat nombor cukai pendapatan pada ketika itu juga), atau anda akan menerima resit pengakuan beserta nombor permohonan. Kemudian,nombor cukai pendapatan anda akan dihantar melalui e-mel dalam tempoh tujuh hari bekerja.
2) Daftar Akaun e-Filing Anda
a) Dapatkan sijil digital
Kembali ke MyTax dan masukkan nombor kad pengenalan anda. Anda akan dimaklumkan bahawa “Sijil Digital anda tidak wujud”. Jangan risau, ianya perkara biasa keranaanda belum menyediakan akaun MyTax anda lagi, yang mana ia memberi akses kepada portal e-Filing.

Anda akan diarahkan untuk memohon sijil digital menggunakan salah satu daripada dua kaedah.
Menggunakan e-CP55D (portal web): Pilih e-CP55D, sahkan alamat e-mel berdaftar dan maklumat peribadi anda, ubah jika perlu, kemudian hantar. Pautan pengaktifan akan dihantar ke e-mel anda, dan anda perlu klik untuk mengaktifkan sijil digital anda. Pautan pengaktifan ini tamat tempoh selepas dua hari, jadi jangan tangguh terlalu lama.
Menggunakan e-KYC (aplikasi MyTax): Jika anda tidak mahu menggunakan borang e-CP55D, anda boleh gunakan e-KYC melalui aplikasi mudah alih MyTax. Iamelibatkan pengimbasan MyKad dan pengesahan swafoto (selfie), dan ia membolehkan anda mengaktifkan sijil digital tanpa perlu ke cawangan LHDN.
b) Mendapatkan PIN sekali guna dan akses ke MyTax serta e-Filing
Setelah sijil digital diaktifkan (sama ada melalui pautan e-mel atau e-KYC), kembali ke MyTax dan masukkan semula nombor kad pengenalan anda. Kali ini, anda sepatutnya boleh log masuk, dengan nombor PIN anda dipaparkan secara automatik. Cipta kata laluan dan frasa keselamatan anda, kemudian klik “Hantar”.
Setelah dihantar, log masuk semula, dan anda akan dapat mengakses papan pemuka MyTax serta perkhidmatan e-Filing.
3) Failkan Cukai Anda
Bagi Tahun Taksiran 2025 (Year of Assessment 2025, YA 2025), e-Filing dibuka pada 1 Mac 2026. Tarikh akhir bagi pekerja bergaji yang memfailkan Borang BE ialah pada 30 April 2026, dengan tempoh lanjutan hingga 15 Mei 2026 untuk penghantaran e-Filing.
Sebelum mula mengisi borang, pastikan anda mempunyai Borang EA, resit untuk sebarang tuntutan pelepasan cukai (perbelanjaan perubatan, pembelian gaya hidup, yuran pendidikan, premium insurans), dan penyata caruman KWSP anda. Sistem e-Filing akan memberi panduan kepadaanda melalui setiap bahagian, dan ia mengira cukai anda secara automatik berdasarkan maklumat yang dimasukkan.
Malaysia menawarkan pelbagai pelepasan cukai yang boleh mengurangkan pendapatan bercukai anda. Setiap individu secara automatik menerima pelepasan peribadi sebanyak RM9,000, dan terdapat pelepasan tambahan untuk pembelian gaya hidup, caruman KWSP, dan premium insurans.
Katakan anda seorang graduan baru yang berpendapatan RM3,600 sebulan (RM43,200 setahun). Tolak pelepasan anda: RM9,000 pelepasan peribadi, RM4,000 untuk caruman KWSP, dan RM2,500 untuk laptop yang dibeli untuk kerja. Ini membawa pendapatan bercukai anda turun kepada RM27,700. Cukai ke atas jumlah tersebut kira-kira RM381. Namun kerana pendapatan bercukai anda di bawah RM35,000, anda turut layak mendapat rebat cukai RM400, yang menghapuskan sepenuhnya bil cukai anda.
Jika majikan anda telah memotong PCB daripada gaji anda sepanjang tahun, anda akan mendapat semuanya semula sebagai bayaran balik, biasanya dalam tempoh 30 hari bekerja selepas memfailkannya.
Untuk panduan yang lebih terperinci tentang borang e-Filing sebenar, semak panduan cukai pendapatan peribadi (YA 2025) kami untuk 2026. Tidak pasti sama ada anda perlu memfail cukai? Panduan kami tentang cara menyemak keperluan pemfailan termasuk had cukai dan peraturan untuk pekerja bergaji, pekerja bebas, dan pemilik perniagaan.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Steffi Manisha Arokiam adalah Pengarah Cukai di ThinkTx Consultants dan beliau bertanggungjawab menerajui urusan Harga Pemindahan (Transfer Pricing) dan e-Invois firma tersebut. Beliau menasihati individu dan perbadanan dalam pelbagai hal ehwal percukaian, termasuk Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT), duti setem, cukai harta pusaka, dan mobiliti global bagi ekspatriat. Beliau dikenali kerana berjaya menggabungkan kepakaran teknikal yang teguh dengan pendekatan praktikal berasaskan penyelesaian. Dengan kepakaran ini, Steffi dapat membantu para pelanggan mengendali isu-isu cukai yang kompleks dengan jelas dan yakin.
Sebagai seorang pembimbing yang dihormati dalam bidang percukaian, Steffi telah mengarang pelbagai jenis artikel teknikal dan buletin profesional. Hasil kerja beliau telah diterbitkan oleh International Bureau of Fiscal Documentation (IBFD) dan Wolters Kluwer (CCH), di mana beliau memberikan pandangan tentang perkembangan cukai kontemporari. Beliau juga pernah dijemput dalam temu bual mengenai percukaian kripto bersama BFM 89.9.
Keahlian Profesional
- Ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA)
- Ahli Chartered Tax Institute of Malaysia (CTIM)
- Akauntan Profesional Piagam ASEAN (ASEAN Chartered Professional Accountant – ASEAN CPA)
- Ahli Persatuan Fiskal Antarabangsa (IFA)
- Jurulatih Profesional yang diperakui oleh HRD Corp
