BNM Sahkan Duit Syiling 5 Sen Akan Kekal Diedarkan Selagi Masih Ada Permintaan

KONGSI

Bank Negara Malaysia (BNM) mengesahkan syiling 5 sen akan terus diedarkan pada masa ini. Jadi kalau anda masih menggunakan atau menyimpan syiling 5 sen dalam dompet, ia masih akan terus dikeluarkan buat masa ini, walaupun sudah tidak ramai yang menggunakan duit syiling tersebut.

Menurut Gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour, walaupun penggunaan  syiling 5 sen semakin berkurangan, tetapi sektor peruncitan masih memerlukannya untuk urusan jual beli harian.

BNM Utamakan Rakyat Yang Masih Guna Duit Tunai

Jelas Abdul Rasheed, BNM mahu memastikan semua rakyat Malaysia, termasuk yang masih bergantung kepada duit tunai, tidak ditinggalkan dalam isu ini. Beliau berkata BNM akan terus memenuhi permintaan pasaran selagi masih ada yang menggunakan syiling 5 sen.

BNM juga akan memantau isu ini secara berterusan berdasarkan keperluan ekonomi semasa, menurut kenyataan beliau dalam satu wawancara eksklusif bersama Buletin TV3.

Peruncit Risau Harga Barangan Boleh Naik

Presiden Persatuan Peruncit Malaysia (MRA), Datuk Andrew Lim Tatt Keong pula menyuarakan kebimbangannya jika syiling 5 sen ditarik daripada edaran, harga barangan berisiko naik. Nilai wang anda pun mungkin terasa semakin kecil.

Andrew turut mempersoalkan sama ada penarikan syiling kecil ini akan merebak pula kepada syiling lain seperti syiling 20 sen dan 50 sen. Jika ia berlaku, urusan jual beli mungkin terpaksa dibuat sepenuhnya dalam nilai ringgit penuh sahaja, tanpa pilihan duit syiling untuk transaksi kecil.

Pakar Ekonomi Berpendapat Syiling Fizikal Sudah Tidak Diperlukan

Pakar ekonomi dari HELP University, Prof Chung Tin Fah pula percaya bahawa syiling 5 sen fizikal tidak lagi banyak membantu dari segi ekonomi, memandangkan e-dompet masyarakat kini boleh menggunakan e-dompet untuk membayar harga sekecil 5 sen tanpa memerlukan duit syiling sebenar.

Menurut Chung, langkah ini tidak akan menjejaskan inflasi kerana pembayaran masih boleh dilakukan melalui e-dompet, hanya syiling fizikal sahaja yang tidak lagi tersedia. Kos untuk menghasilkan sekeping syiling 5 sen juga lebih mahal berbanding nilai mukanya sendiri.

Jenis Nilai Syiling Berkurangan Daripada Enam Kepada Empat Sejak 1967 

Duit syiling Malaysia sudah melalui tiga perubahan besar sejak ia mula diperkenalkan pada 1967, menurut Kurator Galeri Numismatik dan Galeri BNM, Wan Muhammad Danial Wan Omar.

Evolusi ini menunjukkan trend pengecilan saiz dan pengurangan berat syiling untuk mengurangkan kos pengeluaran. Selain itu, kecekapan dari segi pengendalian turut dapat ditingkatkan. Siri Pertama dan Siri Kedua dulu ada enam jenis nilai, dari 1 sen sehingga 1 dolar dan 1 ringgit. Selepas syiling 1 sen dan RM1 ditarik, Siri Ketiga yang anda gunakan sekarang cuma tinggal empat jenis nilai sahaja.

Simpan Baki Syiling 5 Sen Kerana Ia Masih Bernilai 

Kalau anda mendapat baki syiling 5 sen selepas melakukan pembayaran secara tunai di kedai, kami mencadangkan agar anda menyimpan duit syiling 5 sen tersebut  di  dalam bekas atau tabung berasingan daripada dibiarkan bersepah dalam beg atau kereta. Syiling ini masih diedarkan dan mempunyai nilai, jadi ia boleh dikumpul sikit demi sikit untuk kegunaan masa depan, berbanding hilang begitu sahaja atau tidak dapat dikesan bila diperlukan kelak. 

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen