Thailand Pendekkan Tempoh Bebas Visa Kepada 30 Hari Mulai 15 September Ini

KONGSI

Tempoh bebas visa yang anda biasa nikmati ke Thailand, iaitu 60 hari, akan dipotong separuh kepada 30 hari sahaja mulai 15 September 2026. Kerajaan Thailand telah menerbitkan empat peraturan rasmi dalam Royal Gazette pada 31 Ogos 2026, Jilid 143, Isu Khas 207 Ngor, memansuhkan skim bebas visa 60 hari yang bermula sejak Julai 2024. Tarikh kuat kuasanya kini telah muktamad.

Skim Bebas Visa Baharu Bermula 15 September 

Skim 60 hari sedia ada masih terpakai sehingga 14 September 2026. Selepas itu, peraturan 30 hari pula akan berkuat kuasa.

Kerajaan Thailand mengesahkan jika anda memasuki Thailand sebelum 15 September, anda tetap mendapat tempoh 60 hari penuh, walaupun anda masih berada di sana selepas tarikh tersebut. Jadi kalau anda sudah merancang percutian sebelum tarikh ini, anda tidak perlu risau sekiranya tempoh anda dipotong separuh secara tiba-tiba.

Malaysia Termasuk Dalam Senarai 60 Negara Layak 30 Hari

Rakyat Malaysia masih layak untuk bebas visa ke Thailand. Cuma tempoh anda sekarang hanya 30 hari, bukan 60 hari lagi. Senarai 60 negara dan wilayah yang layak turut merangkumi jiran serantau seperti Indonesia, Brunei dan Singapura, selain negara seperti Australia, United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada, Jepun dan seluruh negara Kesatuan Eropah.

Skim baharu ini juga tidak lagi menyebut secara jelas aktiviti kerja jangka pendek atau urusan perniagaan sebagai tujuan yang dibenarkan, berbeza daripada skim 60 hari sebelum ini.

Anda Boleh Mohon Sambungan 30 Hari Jika Mahu Tinggal Lebih Lama

Jika tempoh 30 hari tidak mencukupi, anda masih boleh memohon sambungan sekali sahaja sehingga 30 hari tambahan. Tetapi kelulusan bergantung kepada pihak imigresen Thailand, bukannya secara automatik. Syarat sambungan ini tidak dinyatakan dalam peraturan senarai 60 negara. Ia datang daripada kerangka dasar yang diluluskan Kabinet Thailand secara berasingan.

Malaysia Tak Termasuk Dalam Had 2 Kali Kemasukan Melalui Sempadan Darat

Ada had baharu untuk kemasukan sempadan darat. Peraturan ini menghadkannya kepada dua kali setiap tahun kalendar bagi pemegang bebas visa. Tetapi sebagai rakyat Malaysia, had ini tidak terpakai kepada anda, sama seperti rakyat Brunei, Indonesia dan Singapura. Menteri Dalam Negeri Thailand juga boleh menambah negara lain untuk pengecualian ini pada masa hadapan.

Had dua kali setahun ini hanya terpakai kepada kemasukan sempadan darat sahaja, contohnya bagi pelawat yang masuk dari utara Malaysia ke selatan Thailand. Had ini tidak terpakai bagi kemasukan melalui penerbangan.

Mauritius dan Seychelles Dapat 15 Hari, Maldives Naik Ke 30 Hari

Sekiranya anda mempunyai kawan dari Mauritius atau Seychelles, mereka akan mendapat kategori baharu iaitu bebas visa 15 hari, khusus untuk lawatan pelancongan singkat mulai 15 September 2026. Had kemasukan sempadan darat dua kali setahun turut terpakai kepada skim ini, tertakluk pengecualian yang sama oleh Menteri Dalam Negeri Thailand.

Maldives yang asalnya dicadangkan untuk kategori 15 hari ini, akhirnya diletakkan dalam senarai 30 hari.

Visa on Arrival Kini Cuma Untuk Tiga Negara

Kelayakan Visa on Arrival (VoA) turun mendadak daripada 31 negara kepada tiga sahaja, iaitu Azerbaijan, Belarus dan Serbia. India yang asalnya turut disenaraikan untuk VoA dalam draf awal, telah dikeluarkan selepas ditambah ke dalam senarai bebas visa 30 hari sebaliknya.

Perjanjian Bilateral Sedia Ada Tidak Terjejas

Negara yang tidak muncul dalam mana-mana tiga senarai di atas tidak semestinya perlu memohon visa. Beberapa negara ada perjanjian bebas visa bilateral dengan Thailand yang berasingan daripada skim yang dimansuhkan ini.

Menurut senarai terkini Jabatan Hal Ehwal Konsular Thailand (Department of Consular Affairs), antaranya rakyat Kemboja dan Myanmar layak untuk 14 hari bebas visa, dengan Myanmar terhad kepada kemasukan melalui lapangan terbang antarabangsa sahaja. Rakyat China, Hong Kong, Kazakhstan, Laos, Macao, Mongolia, Rusia, Timor-Leste dan Vietnam pula mendapat 30 hari, manakala rakyat Argentina, Brazil, Chile, Korea Selatan dan Peru mendapat 90 hari.

Pendekatan ini turut selaras dengan dasar Thailand yang mengehadkan setiap kewarganegaraan kepada satu susunan kemasukan sahaja, supaya tiada satu kewarganegaraan pun boleh guna lebih daripada satu skim pada masa yang sama.

Negara Yang Tidak Tersenarai Perlu Mohon Visa

Bagi rakyat yang negaranya tidak termasuk dalam mana-mana senarai ini, sama ada senarai 30 hari, 15 hari, VoA, mahupun perjanjian bilateral, mereka perlu memohon visa Thailand sebelum bertolak selepas 15 September 2026.

Sejak Januari 2025, Thailand sudah memiliki sistem e-Visa yang tersedia di seluruh dunia. Anda boleh mohon secara dalam talian terus melalui misi diplomatik Thailand berkenaan, tanpa perlu datang sendiri ke kedutaan.

Sebelum anda buat sebarang tempahan penerbangan atau penginapan berdasarkan tempoh bebas visa ini, RinggitPlus ingin menasihati anda untuk mengesahkan status terkini melalui portal rasmi Thailand e-Visa di thaievisa.go.th atau laman Kedutaan Diraja Thailand di Kuala Lumpur di kualalumpur.thaiembassy.org, memandangkan syarat kemasukan boleh berubah mengikut kewarganegaraan dan tujuan lawatan.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen