Pada 21 Mei lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengadakan Program Bengkel Media ‘Raising the Bar for Consumers: Stronger Consumer Protection and Fair Conduct Reforms‘.
Menerusi program tersebut, BNM telah menyemak dan memperkukuh beberapa dasar berkaitan cara institusi kewangan menguruskan data pelanggan, mendedahkan maklumat produk dan melindungi hak pengguna.
Terma dan Syarat Produk Kewangan Perlu Lebih Jelas
Tidak dinafikan, masih ada individu yang menandatangani dokumen pinjaman atau insurans tanpa memahami apa yang mereka persetujui.
BNM kini mewajibkan semua penyedia perkhidmatan kewangan untuk lebih telus dalam mendedahkan maklumat produk kepada pengguna sepanjang kitaran hayat produk tersebut.
BNM menetapkan tiga prinsip utama yang perlu dipatuhi semua penyedia perkhidmatan kewangan:
- Maklumat mesti disampaikan tepat pada masanya, jelas dan mudah difahami
- Maklumat yang didedahkan perlu tepat, relevan dan mencukupi
- Pendedahan perlu konsisten dan mudah dibandingkan antara penyedia
Pendedahan Digital Kini Lebih Dikawal
Perubahan ini turut meliputi saluran digital. Semua pendedahan produk melalui platform dalam talian mestilah selari dan mudah dibaca pada mana-mana peranti. Pengguna juga perlu mendapat bantuan yang mencukupi semasa membuat keputusan dalam persekitaran digital, sama ada melalui hotline, live chat, atau alat interaktif lain.
Kebenaran Anda Perlu Diminta Terlebih Dahulu Untuk Tujuan Pemasaran
Bank dan syarikat insurans kini perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada anda terlebih dahulu sebelum berkongsi maklumat anda dengan pihak lain untuk tujuan pemasaran atau promosi. Kebenaran tersebut mestilah spesifik, sukarela, nyata dan boleh ditarik balik pada bila-bila masa.
Format PDS Diseragamkan
Helaian Pendedahan Produk atau Product Disclosure Sheet (PDS) kini perlu lebih ringkas, tidak melebihi dua halaman A4 dan ditulis dalam bahasa yang mudah difahami. Format PDS turut diseragamkan di semua penyedia perkhidmatan kewangan supaya pengguna boleh membanding produk dengan lebih mudah.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
