BNM Wajibkan Bank Turunkan Ansuran Dalam 60 Hari Jika OPR Turun, Ini Apa Yang Anda Perlu Tahu

KONGSI

Mulai 1 Julai 2026, bank tidak lagi dibenarkan untuk menangguhkan tempoh untuk menurunkan ansuran bulanan  apabila Kadar Dasar Semalaman (OPR) sudah diturunkan. 

Bank Negara Malaysia (BNM) baru sahaja mengeluarkan versi terkini Rangka Kerja Kadar Rujukan (Reference Rate Framework, RRF) di mana terdapatperaturan baharu yang benar-benar memihak kepada peminjam.

Jika Dahulu, Bank Boleh Ambil Masa Berbulan-bulan

Selama ini, tiada had masa yang ditetapkan untuk bank mengemas kini ansuran bulanan anda selepas OPR berubah.

Perkara ini menyebabkan sesetengah bank sering menaikkan ansuran dengan cepat apabila kadar OPR meningkat dan lambat untuk menurukan ansuran apabila OPR turun.

Sudah tentu perkara sebegini tidak digemari oleh para peminjam kan?

Had Masa Baharu: 60 Hari, Kemudian 30 Hari

RRF yang dikemaskini memperkenalkan pendekatan dua fasa untuk mempercepatkan proses ini:

FasaTempoh MaksimumTarikh Mula
SekarangTiada had
Fasa 160 hari kalendar1 Julai 2026
Fasa 230 hari kalendar2 Januari 2028

Secara ringkas, apabila berlakunya perubahan dalam kadar OPR, bank perlu mengemas kini ansuran anda dalam masa 60 hari. Menjelang 2028, had itu akan diketatkan lagi kepada 30 hari.

Anda Wajib Dapat Notis 7 Hari Awal

Bank juga wajib memaklumkan kepada anda sekurang-kurangnya 7 hari sebelum ansuran baru berkuat kuasa, lengkap dengan jumlah baru dan tarikh efektifnya. Tiada lagi situasi di mana bayaran ansuran anda berubah tanpa sebarang makluman.

Untuk pinjaman yang diuruskan oleh entiti berkaitan kerajaan seperti Biro Angkasa atau Akauntan Negara, had masa yang diberikan sedikit lebih longgar iaitu 90 hari untuk kemaskini, dan notis kepada pelanggan perlu dihantar dalam tempoh 60 hari.

Kenapa Ansuran Anda Berubah Perlu Dijelaskan Dengan Jelas

Salah satu perubahan terbesar dalam polisi ini ialah bank wajib mengasingkan sebab perubahan ansuran.

Contohnya, jika ansuran anda naik sebab OPR meningkat ia perlu dimaklumkan secara berasingan daripada kenaikan yang berpunca daripada perubahan profil kredit anda sendiri. 

Ingat! Anda berhak untuk tahu punca sebenar kenaikan tersebut.

Spread Tidak Boleh Dinaikkan Sesuka Hati

Setelah kontrak pinjaman anda ditandatangani, bank tidak boleh menaikkan spread (tambahan atas Kadar Asas Piawai atau Standardised Base Rate, SBR) atas sebab seperti:

  • Kos operasi bank meningkat
  • Strategi pengurusan dana bank berubah
  • Kadar default keseluruhan portfolio meningkat
  • Bank nak naikkan margin keuntungan

Satu-satunya sebab yang dibenarkan adalah profil risiko kredit anda sendiri merosot. Bukan kerana hal dalaman bank.

Perlindungan Untuk Akaun Simpanan Kanak-kanak

Selain itu, jika anak anda ada akaun simpanan kanak-kanak, ada berita baik untuk. Untuk baki sehingga RM50,000, kadar deposit yang dibayar oleh bank tidak boleh lebih rendah daripada kadar deposit tetap 1 bulan bank berkenaan. Ini memastikan simpanan anak anda tidak diletakkan pada kadar yang terlalu rendah.

Bila Bank Dibenarkan Tidak Kemaskini Ansuran

Ada situasi tertentu yang membenarkan bank tidak mengubah ansuran anda walaupun OPR berubah:

  • Perubahan atau perubahan kumulatif ansuran kurang daripada RM10
  • Pinjaman sedang dalam program bantuan AKPK, penjadualan semula (rescheduling & restructuring), tindakan undang-undang, moratorium, atau program bantuan bayaran balik
  • Pinjaman hampir matang
  • Ansuran pertama selepas disbursement penuh sedang dikira semula
  • Anda sendiri yang minta ansuran dikekalkan

Tapi kalau bank tidak kemaskini, mereka wajib beritahu anda dalam bertulis termasuk implikasinya kepada kos keseluruhan pinjaman, tempoh pinjaman, dan kemungkinan bayaran “lump sum” di penghujung tempoh.

Perlu Pantau Perkara Ini Jika Anda Pinjam Wang Dari Bank

Jika anda ada pinjaman rumah, kereta, atau pinjaman peribadi yang berkaitan dengan OPR, ada beberapa perkara yang perlu anda semak:

  • Pastikan anda terima notis daripada bank sebelum ansuran baharu berkuat kuasa
  • Semak sama ada sebab perubahan ansuran dijelaskan dengan jelas
  • Jika OPR turun tapi ansuran anda tidak berubah, minta bank jelaskan sebabnya secara bertulis
  • Jika anda rasa ansuran tidak diubah tanpa sebab yang sah, anda boleh hubungi bank atau merujuk kepada AKPK untuk bantuan

Polisi ini mula berkuat kuasa 1 Julai 2026. Semua bank berlesen, bank Islam berlesen, dan institusi kewangan pembangunan yang ditetapkan tertakluk kepada keperluan ini.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

5 1 vote
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments