Ringgit Dijangka Berdepan Nilai Tidak Menentu Pada Suku Kedua 2026

KONGSI

Nilai Ringgit berbanding dolar AS dijangka tidak menentu dalam tempoh terdekat. Difahamkan, ketegangan geopolitik di Asia Barat menjadi punca utamanya.

Walau bagaimanapun, menurut penganalisis, asas ekonomi Malaysia masih cukup kuat untuk menahan tekanan ini.

Asas Ekonomi Malaysia Jadi Pelindung

Menurut UOB Global Economics & Markets Research, Malaysia sebenarnya berada di kedudukan yang baik. 

Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang positif, pembaharuan fiskal yang berterusan, dan lebihan akaun semasa yang konsisten seharusnya melindungi Ringgit daripada kesan lonjakan harga minyak akibat konflik Asia Barat.

Namun, UOB turut mengakui bahawa Ringgit tidak akan terlindung sepenuhnya. Sama seperti mata wang Asia yang lain, Ringgit turut terdedah kepada perubahan aliran pelaburan apabila selera risiko global sedang dinilai semula oleh para pelabur.

Ambil Untung Dulu, Naik Semula Kemudian

Dalam tempoh terdekat khususnya suku kedua 2026, UOB menjangkakan Ringgit mungkin berada pada kedudukan yang sedikit lemah berbanding paras kukuhnya sebelum ini.

“Kami menangkakan sedikit penurunan daripada paras RM4.20 sedolar pada November lalu, memandangkan pelabur mengambil untung selepas beberapa bulan mencatatkan prestasi lebih baik,” jelas UOB dalam laporan Tinjauan Sukuan Global Suku Kedua 2026.

Ini merupakan satu perkara biasa berlaku dalam pasaran di mana para pelabur kerap “lock in” keuntungan selepas mata wang mengukuh.

Unjuran Ringgit: Ke Mana Arahnya?

UOB menyusun unjuran yang agak memberangsangkan untuk ringgit:

TempohUnjuran Ringgit
Suku Kedua 2026RM3.98 sedolar
Suku Ketiga 2026RM3.94 sedolar
Suku Keempat 2026RM3.90 sedolar
Suku Pertama 2027RM3.85 sedolar

Apabila risiko geopolitik mula reda, faktor dalaman yang positif dijangka kembali mengambil alih sebagai pendorong utama pengukuhan ringgit.

Kadar Dasar Dijangka Kekal, Buat Masa Ini

UOB turut mengunjurkan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75% dengan syarat konflik Asia Barat tidak berpanjangan melebihi tiga bulan.

Sekiranya situasi berlarutan lebih lama, keadaan boleh berubah. Inflasi mungkin meningkat dan pertumbuhan global akan terasa lebih tertekan, situasi sebegini sudah tentu akan memaksa BNM menilai semula dasarnya.

Ringgit Cecah RM4.00 Sedolar Mengikut Situasi Semasa

Pada Jumaat lalu, Ringgit jatuh ke paras RM4.00 sedolar, didorong oleh peningkatan permintaan terhadap dolar AS sebagai mata wang “selamat” ketika ketidaktentuan global memuncak.

Ini menunjukkan betapa sensitifnya pasaran mata wang terhadap berita geopolitik walaupun asas ekonomi sesebuah negara itu masih kukuh.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments