Mulai 1 April 2026, pengguna kad kredit atau kad debit asing tidak lagi boleh membeli minyak petrol RON95 di terminal layan diri. Langkah ini dilaksanakan secara berperingkat di semua stesen minyak di seluruh Malaysia.
Tujuan langkah ini diambil adalah untuk memastikan subsidi RON95 sampai kepada rakyat yang benar-benar layak dan tidak disalah guna oleh pihak tertentu termasuk kenderaan dengan nombor pendaftaran asing yang selama ini mengambil kesempatan di terminal layan diri tanpa dapat dikesan.
Kenapa Langkah Ini Diambil?
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam, berkata masalah utamanya ialah kenderaan asing yang mengisi minyak menggunakan kad debit atau kad kredit asing ini sukar dikesan oleh pihak stesen mahupun penguat kuasa.
Susulan itu, pengguna kad asing kini wajib melakukan pembayaran di kaunter. Cara ini memudahkan pemantauan terutama di stesen yang memiliki lebih daripada 15 pam, di mana sebelum ini sukar untuk mengesan ketirisan.
Apa Lagi Yang Berkuat Kuasa Rabu Ini?
Selain sekatan kad asing, dua lagi peraturan baharu mula berkuat kuasa pada tarikh yang sama:
1. Larangan penuh RON95 untuk kenderaan asing: Penjualan dan pembelian petrol RON95 kepada kenderaan berdaftar asing kini diharamkan sepenuhnya.
2. Had pembelian diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan: Stesen minyak di ketiga-tiga wilayah ini diarah mengawal penjualan diesel bersubsidi (RM2.15 seliter) kepada kenderaan pengangkutan darat dengan had berikut:
| Kategori | Had Pembelian |
| Kecil | 50 liter |
| Sederhana | 100 liter |
| Besar | 150 liter |
Langkah ini bertujuan untuk menghalang sindiket penyeludupan dan sektor industri yang tidak layak daripada menyalahgunakan subsidi diesel.
2,400 Pegawai Digerakkan Seluruh Negara
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) melalui Ops TIRIS 4.0 juga telah mengarahkan seramai 2,400 pegawai penguat kuasa untuk melakukan pemeriksaan dan pemantauan di lapangan.
KPDN turut bekerjasama dengan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan tiada lagi ruang untuk penyelewengan.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
