Sejak 1 Julai 2026, fi RM1 bagi pengeluaran tunai antara bank telah dimansuhkan dan anda kini boleh mengeluarkan wang tunai di mana-mana mesin ATM milik bank secara percuma. Bagaimanapun, terdapat laporan dari pengguna yang menyatakan mereka masih dikenakan caj tersebut. Ini menyebabkan persatuan perbankan dan pihak kerajaan mengeluarkan penjelasan berhubung perkara itu.
Pengecualian Fi RM1 Hanya Untuk ATM Milik Bank
Pemansuhan caj ini hanya untuk ATM yang dimiliki dan dikendalikan oleh bank dan ia hanya meliputi kira-kira 84% daripada jumlah mesih ATM di seluruh negara atau hampir 16,000 unit. Baki mesin ATM lain yang dikendalikan oleh syarikat bukan bank adalah tertakluk di bawah perjanjian komersial berasingan dan mesin ini masih mengenakan fi RM1 seperti biasa.
Jika anda dikenakan caj selepas 1 Julai, kemungkinan besar anda menggunakan mesin yang dikendalikan oleh syarikat bukan bank.
Cara Mengenal Pasti ATM Milik Bank
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menasihatkan anda menyemak sama ada mesin ATM dikendalikan oleh bank atau oleh syarikat pihak ketiga sebelum membuat pengeluaran tunai. ATM milik bank biasanya hanya memaparkan jenama bank tersebut sahaja.
Menurutnya, Persatuan Bank-Bank dalam Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dijangka akan mengeluarkan kenyataan bersama dalam masa terdekat bagi memperincikan pelaksanaan pengecualian fi ini.
Apa Perlu Anda Buat Jika ATM Milik Bank Kenakan Fi
Sekiranya anda masih dikenakan fi RM1 dari mesin ATM milik bank, anda boleh membuat laporan kepada Bank Negara Malaysia (BNM). Tindakan susulan boleh diambil sekiranya terdapat bank yang gagal mematuhi pelaksanaan pengecualian fi berkenaan yang telah berkuatkuasa sejak 1 Julai.
Bagi individu yang sering membuat transaksi wang tunai dalam urusan pembelian atau kerja, kini anda tidak perlu lagi hanya mencari mesin ATM berdasarkan bank yang anda guna untuk mengelak daripada dikenakan fi. Anda kini boleh menggunakan ATM milik bank-bank lain secara percuma untuk pengeluaran tunai.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
