Export-Import Bank of Malaysia Berhad (EXIM Bank) kini memperluas skop Inisiatif Mawaddah dengan memfokuskan sokongan kepada komuniti pekak melalui kerjasama strategik bersama Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD). Langkah ini menyusul selepas kejayaan bank tersebut menyalurkan bantuan bernilai lebih RM2 juta yang telah memanfaatkan lebih 500 penerima dalam tempoh tiga tahun yang lalu.
Karnival Keusahawanan Lonjak Pasaran Usahawan Pekak
Sebagai langkah awal, Karnival Keusahawanan telah dianjurkan di ibu pejabat EXIM Bank dengan penampilan sekitar 10 ruang pameran yang dikendalikan oleh usahawan pekak dalam sektor makanan dan minuman, peruncitan, produk kraf tangan, serta kecantikan. Acara yang berlangsung selama tiga hari dari 1 hingga 3 Julai 2026 ini berjaya menarik lebih 400 pengunjung, sekali gus memberi pendedahan pasaran secara langsung dan peluang membina rangkaian perniagaan baharu.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EXIM Bank, Datuk Nurbayu Kasim Chang menyatakan bahawa program ini dilakukan bertujuan untuk menyediakan peluang saksama kepada setiap lapisan masyarakat. Melalui platform Kewangan Sosial Islam ini, usahawan dibimbing untuk membina perniagaan yang mampan selaras dengan prinsip Value Based Intermediation dan Rangka Kerja Pengukuran Prestasi Bank Negara Malaysia.
Kepelbagaian Program Strategik Mawaddah
Sejak tahun 2023, Inisiatif Mawaddah telah melaksanakan lebih 10 program merentasi sektor keusahawanan, pendidikan, kesihatan, dan kemanusiaan. Antaranya termasuklah pembangunan ekosistem Halal bersama Perbadanan Pembangunan Halal (HDC), projek penternakan ayam dengan MyFundAction, serta program literasi kewangan Islam bersama Islamic Banking and Finance Institute Malaysia (IBFIM), Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL), dan Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang (KITAB).
Aktiviti kemasyarakatan bank ini turut melibatkan Program Ihsan Banking Journey ke Royal Belum, Gerik, Perak, yang menyaksikan seramai 80 orang kakitangan mengambil bahagian dalam pengagihan bantuan keperluan asas kepada komuniti Orang Asli. Selain itu, bank terbabit turut menyertai Program Santunan Kasih anjuran Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) di Pusat Jagaan Mahmudah di Semenyih dan Pusat Jagaan Nur Hasanah di Beranang.
Pembiayaan iTEKAD ISHRAF Bantu Usahawan Asnaf
Bagi meluaskan impak bantuan, Mawaddah turut menyokong program kewangan sosial Islam secara kolaboratif di bawah Kumpulan Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB), termasuk program SME Bank iTEKAD ISHRAF 4.0. Bagi tempoh 2025 hingga 2026, program ini memberi manfaat kepada kira-kira 420 usahawan asnaf di seluruh negara melalui pembiayaan berjumlah RM9 juta. Dana ini merangkumi geran padanan daripada Bank Negara Malaysia di bawah iTEKAD serta sumbangan daripada BPMB, EXIM Bank, dan rakan strategik lain.
Bagi memastikan kelangsungan perniagaan peserta, pihak Centre for Entrepreneur Development and Research (CEDAR) SME Bank turut bertindak sebagai jurulatih perniagaan dengan menyediakan latihan dalam bidang pemasaran, pendigitalan, pengurusan kewangan, serta operasi perniagaan.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
