Tiada Lagi Caj RM1 Pengeluaran ATM Antara-Bank Mulai 1 Julai

KONGSI

Mulai 1 Julai 2026, bank-bank di Malaysia akan memansuhkan caj RM1 untuk pengeluaran tunai di ATM bank lain bagi empat pengeluaran pertama setiap bulan. Ini bermakna anda boleh menikmati kemudahan pengeluaran antara-bank secara percuma.

Ini hasil kerjasama Persatuan Bank-bank dalam Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) bersama Payments Network Malaysia (PayNet). 

Liputan merangkumi lebih 14,000 mesin ATM dan Smart Recycler Machine (SRM) di seluruh negara.

Apa Itu Yuran Antara-Bank?

Setiap kali anda keluarkan wang di ATM bank lain, anda dikenakan caj RM1. Contohnya, jika anda pelanggan Maybank tetapi guna ATM CIMB, anda bayar RM1 untuk setiap pengeluaran.

Nilai RM1 itu mungkin kelihatan kecil, namun jika anda buat empat pengeluaran dalam sebulan di ATM bank lain, ia telah bersamaan dengan RM48 untuk setahun.

Siapa Yang Paling Terasa Manfaatnya?

Perubahan ini paling memberi kesan kepada:

  • Mereka yang tinggal di kawasan luar bandar atau pekan kecil, di mana ATM bank pilihan mungkin jauh
  • Pekerja yang keluarkan tunai beberapa kali sebulan
  • Peniaga kecil yang masih bergantung pada wang tunai untuk urusan harian

Apa Yang Perlu Anda Tahu Sebelum 1 Julai

Pertama, anda tidak perlu buat apa-apa. Perubahan ini automatik dan terpakai untuk semua pemegang kad debit.

Kedua, jika selama ini anda keluarkan wang tunai banyak sekaligus semata-mata nak elak caj berulang, tabiat itu sudah tidak perlu. Keluarkan mengikut keperluan sahaja.

Ketiga, yuran yang digugurkan ini hanya untuk pengeluaran tunai antara-bank dalam Malaysia. Pengeluaran di luar negara atau di mesin luar rangkaian PayNet masih dikenakan caj seperti biasa.

Tunai Atau Tanpa Tunai Mana Pilihan Anda?

Walaupun yuran ATM selepas ini tiada, pilihan pembayaran digital seperti kad debit, e-dompet, dan pemindahan bank masih lebih mudah untuk jejak perbelanjaan anda. Wang tunai tidak ada rekod automatik, maknanya lebih susah nak tahu ke mana perginya duit setiap bulan.

Pemansuhan yuran ini lebih kepada memudahkan akses kepada tunai untuk semua orang, terutama mereka yang tidak punya pilihan lain. Bukan sebab untuk balik kepada kegunaan tunai sepenuhnya.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini. 

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen