Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan inflasi keseluruhan Malaysia meningkat kepada 1.7% pada Mac 2026, naik daripada 1.4% yang dicatatkan pada Februari 2026.
Peningkatan ini melibatkan hampir semua kumpulan perbelanjaan utama kecuali Pakaian dan Kasut yang mencatatkan penurunan negatif 0.1%. Kumpulan yang mencatatkan kenaikan paling ketara pula ialah Penjagaan Diri, Perlindungan Sosial dan Pelbagai Barangan dan Perkhidmatan dengan peningkatan 7.0% berbanding tahun sebelumnya.
Inflasi Teras dan Inflasi Tanpa Bahan Api
Sementara itu, inflasi teras yang tidak mengambil kira harga makanan segar dan barangan kawalan kerajaan pula meningkat sedikit kepada 2.1% pada Mac 2026 berbanding 2.0% pada bulan sebelumnya.
Manakala inflasi tanpa bahan api pula meningkat kepada 1.8% daripada 1.7% pada Februari 2026. Ukuran ini merangkumi semua barang dan perkhidmatan kecuali Petrol RON95, RON97, dan Diesel.
Makanan dan Minuman Naik Lebih Perlahan
Kumpulan Makanan dan Minuman menyumbang 29.8% daripada keseluruhan wajaran Indeks Harga Pengguna (IHP). Namun mencatatkan kenaikan yang lebih perlahan pada 1.1% berbanding 1.3% pada Februari 2026.
Daripada 247 barangan makanan yang dikesan, 159 berangan (64.4%) merekodkan kenaikan harga berbanding Mac 2025.
Makanan di luar rumah meningkat 2.3% (2.4% pada Februari 2026), dengan barangan seperti masakan daging naik 4.3% dan nasi berlauk naik 3.0%. Kenaikan ini lebih perlahan berbanding bulan sebelumnya.
Makanan di rumah pula hanya naik 0.1% (0.3% pada Februari 2026). Antara faktor yang membantu mengekalkan harga di paras rendah adalah penurunan harga sayur-sayuran sebanyak -4.9%, serta penurunan bijirin & produk bijirin (-0.1%) dan minyak dan lemak (-0.2%).
Namun begitu, harga ikan dan makanan laut terus mencatatkan kenaikan pada 1.5% walaupun lebih perlahan daripada 2.5% pada bulan sebelumnya.
Ini Harga Ayam dan Daging Semasa
Purata harga ayam standard pada Mac 2026 ialah RM10.59 sekilogram, berbanding RM10.56 sekilogram pada Mac 2025 dan RM10.75 pada Februari 2026. Di Semenanjung Malaysia, harga ayam standard adalah RM9.84 sekilogram sama seperti Mac 2025.
Untuk daging lembu tempatan, harga purata semasa ialah RM35.31 sekilogram, naik sedikit berbanding RM35.25 pada Februari 2026.
Pengangkutan Naik Ketara Bulan ke Bulan
Kumpulan Pengangkutan mencatatkan perubahan yang paling ketara dalam bulan ini iaitu daripada -0.7% pada Februari 2026 kepada +1.6% pada Mac 2026.
Peningkatan ini didorong terutamanya oleh kenaikan harga bahan api dan perkhidmatan pengangkutan awam (+7.0%).
Harga bahan api semasa pada Mac 2026:
| Bahan Api | Harga Mac 2026 | Harga Mac 2025 |
| Diesel (Semenanjung) | RM4.12/liter | RM3.08/liter |
| Petrol RON97 | RM4.03/liter | RM3.33/liter |
| Petrol RON95 (tanpa subsidi) | RM3.16/liter | RM2.05/liter |
| Petrol RON95 BUDI95 (bersubsidi) | RM1.99/liter | — |
| Diesel (Sabah, Sarawak dan Labuan) | RM2.15/liter | RM2.15/liter |
Kenaikan harga bahan api ini seiring dengan lonjakan harga minyak mentah Brent iaitu AS$103.69 setong pada Mac 2026, jauh lebih tinggi berbanding AS$72.57 setong pada Mac 2025.
Elektrik Masih Dalam Zon Negatif
Kumpulan Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Api Lain meningkat perlahan kepada 1.2%. Walau bagaimanapun, subkumpulan elektrik, gas dan bahan api kekal negatif untuk sembilan bulan berturut-turut pada -4.0% (Februari 2026: -4.5%).
Ini sebahagiannya disebabkan oleh pengemaskinian kadar Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA) untuk pengguna domestik di Semenanjung Malaysia bagi penggunaan melebihi 600 kilowatt per jam (kWh). Pengguna yang menggunakan 600 kWh dan ke bawah tidak terjejas.
Insurans Kewangan Melonjak 4.9%
Kumpulan Insurans dan Perkhidmatan Kewangan mencatatkan kenaikan ketara pada 4.9% (Februari 2026: 4.7%). Ini termasuk insurans berkaitan kesihatan yang melonjak 14.2% berbanding tahun sebelumnya.
Kumpulan Penjagaan Diri, Perlindungan Sosial dan Pelbagai Barangan dan Perkhidmatan pula mencatatkan kenaikan tertinggi keseluruhan pada 7.0%, didorong antara lain oleh kenaikan harga barang kemas dan jam tangan sebanyak 41.0% berbanding Mac 2025.
Perbandingan Mengikut Negeri
Kebanyakan negeri mencatatkan inflasi di bawah paras nasional 1.7%. Kelantan merekodkan inflasi terendah pada 0.7%, manakala lapan negeri mencatatkan inflasi melebihi paras nasional:
| Negeri | Inflasi Mac 2026 |
| Pahang | 2.5% |
| WP Labuan | 2.4% |
| Negeri Sembilan | 2.2% |
| WP Kuala Lumpur | 2.2% |
| Sabah | 2.1% |
| Johor | 2.0% |
| Kedah | 1.9% |
| Pulau Pinang | 1.8% |
Untuk makluman, inflasi kawasan Bandar meningkat kepada 1.8%(Februari 2026: 1.4%), manakala inflasi kawasan Luar Bandar meningkat kepada 1.6% (Februari 2026: 1.4%).
Isi Rumah Berpendapatan Bawah RM3,000
Bagi kumpulan berpendapatan bawah RM3,000, inflasi meningkat perlahan kepada 1.2% pada Mac 2026 (1.1% pada Februari 2026). Angka ini kekal lebih rendah daripada kadar inflasi keseluruhan negara.
Kumpulan Makanan dan Minuman hanya naik 0.7% untuk golongan ini, menunjukkan tekanan harga makanan bagi isi rumah berpendapatan rendah masih terkawal pada masa ini.
Inflasi Suku Pertama 2026
Untuk suku pertama 2026 (Januari hingga Mac), kadar inflasi Malaysia meningkat kepada 1.6% berbanding tempoh yang sama tahun lalu (1.3% pada Q4 2025). Ini didorong oleh kenaikan kumpulan Penjagaan Diri dan Pelbagai Barangan (+6.9%), Pendidikan (+2.8%), dan Minuman Alkohol dan Tembakau (+2.6%).
Angka-angka ini diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada April 2026. Data penuh boleh diakses melalui portal OpenDOSM.
Apa Itu Inflasi dan Mengapa Ia Penting?
Tidak dinafikan, masih ada sebahagian rakyat Malaysia yang keliru mengenai inflasi ini. Untuk pengetahuan anda, inflasi bermaksud harga barang dan perkhidmatan secara umum naik dari semasa ke semasa. Kesannya, wang yang sama tidak lagi mampu membeli barangan yang sama seperti tahun lalu.
Di Malaysia, inflasi diukur melalui Indeks Harga Pengguna (IHP), yang menjejaki perubahan harga 573 item harian seperti beras, ayam, sewa rumah, dan tambang bas. Data ini dikumpul setiap bulan daripada lebih 21,300 cawangan runcit di seluruh negara.
Inflasi 1.7% Bukan Bermakna Harga Turun
Inflasi 1.7% bermakna harga masih naik secara keseluruhannya cuma pada kadar yang lebih perlahan berbanding bulan sebelumnya. Bagi isi rumah berpendapatan tetap, kenaikan kos hidup yang berterusan boleh menekan belanja bulanan dari tahun ke tahun.
Apa Kaitan Inflasi Dengan Simpanan dan Pinjaman Anda?
Bank Negara Malaysia (BNM) memantau inflasi untuk menentukan kadar dasar semalaman (OPR), yang secara langsung mempengaruhi kadar faedah pinjaman rumah, pinjaman kereta, dan simpanan anda. Selain itu, jika pulangan simpanan anda lebih rendah daripada kadar inflasi semasa, nilai sebenar simpanan anda berkurang walaupun angkanya kelihatan bertambah.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
