Mulai 17 April 2026, pelanggan Hong Leong Bank (HLB) Auto Loan boleh membuat bayaran prinsipal awal (principal prepayment) di kaunter untuk mengurangkan baki pinjaman kereta mereka.
Kemudahan ini terbuka kepada semua pemegang HLB Auto Loan, sama ada yang menggunakan kadar tetap (fixed rate) mahupun kadar berubah (variable rate).
Apa Itu Bayaran Prinsipal Awal?
Bayaran prinsipal awal bermaksud anda membayar sebahagian daripada jumlah prinsipal pinjaman lebih awal daripada jadual yang ditetapkan. Wang yang dibayar secara tidak langsung dapat mengurangkan baki pinjaman pokok anda, dan ia bukanan sekadar menjelaskan bayaran ansuran semasa anda.
Untuk pelanggan kadar berubah, bayaran ini akan mengurangkan Baki Tertunggak yang Layak iaitu jumlah pinjaman pokok tertunggak yang perlu dibayar kepada bank setakat tarikh akhir pembayaran pada bulan lepas. Pengurangan ini akan memberi kesan kepada pengiraan faedah bulan berikutnya.
Walau bagaimanapun,bayaran prinsipal awal yang dibuat sebelum tarikh akhir ansuran bulan semasa tidak akan mengubah Baki Tertunggak yang Layak untuk bulan itu. Ia hanya akan dipaparkan pada bulan berikutnya.
Syarat Bayaran Prinsipal Awal
Bayaran mesti dibuat dalam gandaan RM1,000 atau apa-apa jumlah lain yang diterima oleh HLB. Bayaran ini tidak akan mengurangkan jumlah ansuran bulanan anda, sebaliknya ia akan mengurangkan bilangan ansuran yang perlu dibayar. Jika anda ingin mengurangkan jumlah ansuran bulanan, anda perlu mendapat persetujuan bertulis daripada HLB terlebih dahulu.
Selain itu, sebarang jumlah yang telah dibayar awal tidak boleh dikeluarkan semula atau dipinjam semula melainkan dibenarkan secara nyata oleh pihak bank.
Kesan Kenaikan OPR Terhadap Pinjaman Kadar Berubah
Bagi pelanggan HLB Auto Loan kadar berubah, kadar faedah anda dikira berdasarkan Kadar Pinjaman Asas (KPA) yang berubah mengikut Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia. Ini bermakna ansuran bulanan anda boleh naik atau turun mengikut keadaan pasaran.
Sebagai gambaran, berikut adalah contoh impak kenaikan OPR bagi pinjaman RM100,000 tempoh 60 bulan:
| Senario | Ansuran Bulanan | Jumlah Kos Faedah | Kadar Tahunan |
| Kadar semasa | RM1,888 | RM13,227 | 5.00% |
| KPA naik 1% | RM1,934 | RM15,997 | 6.00% |
| KPA naik 2% | RM1,981 | RM18,807 | 7.00% |
Di sinilah bayaran prinsipal awal boleh membantu dengan mengurangkan baki pokok, faedah yang dikira setiap bulan turut berkurang.
Apa Berlaku Jika Anda Gagal Bayar?
HLB akan mengenakan caj bayaran lewat sebanyak 2% melebihi kadar faedah semasa setahun yang dikira secara harian. Ini boleh menyebabkan jumlah hutang anda meningkat dengan lebih cepat akibat faedah kompaun.
Jika dua ansuran berturut-turut tidak dibayar dan notis telah tamat tempoh, bank berhak untuk menarik balik kenderaan anda. Dalam kes penyewa yang telah meninggal dunia, waris terdekat diberi tempoh empat kali kegagalan bayaran berturut-turut sebelum tindakan penarikan diambil.
Selain itu, skor kredit anda juga boleh terjejas yang akan menyebabkan kelayakan kredit menjadi lebih sukar atau lebih mahal pada masa hadapan.
Apa Yang Berubah Dalam Dokumen Rasmi?
Dengan kemas kini berkuat kuasa 17 April 2026, dua dokumen rasmi HLB telah dikemaskini:
Terma dan Syarat Perjanjian Sewa Beli: Ditambah Seksyen 6 baharu berkaitan Prabayaran Pokok Pinjaman (Principal Prepayment).
Helaian Pendedahan Produk (Pembiayaan Auto Kadar Berubah): Seksyen 1 dikemaskini untuk mentakrifkan Baki Tertunggak yang Layak dengan lebih jelas.
Bayaran boleh dilakukan di kaunter mana-mana cawangan HLB. Untuk sebarang pertanyaan, hubungi HLB di 03-7626 8899 atau emel ke hlonline@hlbb.hongleong.com.my. Maklumat lanjut juga boleh didapati di hlb.com.my/autoloanbm.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
