Anda mungkin salah seorang pelanggan Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) yang menggunakan perkhidmatan Electric Train Service (ETS) hampir setiap hari untuk ke tempat kerja. Jika ya, mesti anda pun pernah mengalami masalah seperti internet tiba-tiba hilang kan?
Sebenarnya, bukan anda seorang sahaja yang mengalami isu tersebut. Oleh kerana masalah berkenaan telah mendapat banyak laporann, kerajaan kini sedang berusaha untuk memastikan rangkaian nternet sentiasa ada sewaktu sepanjang perjalanan anda.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengumumkan bahawa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan semua syarikat telekomunikasi diberi tempoh sebulan untuk memperbaiki liputan internet di sepanjang laluan ETS KL Sentral–Segamat.
Prinsip Baharu: “Di Mana Ada Trek, Di Situ Ada Internet”
Kementerian Komunikasi kini memakai prinsip baharu iaitu “di mana ada trek, di situ ada internet” sebagai piawaian liputan untuk laluan kereta api. Prinsip ini merupakansambungan daripada pendekatan lama “di mana ada jalan, di situ ada internet” yang digunakan sebelum ini.
Menurut Fahmi, matlamat ini bukan sekadar untuk pengguna ETS. Tapi untuk keseluruhan rangkaian KTMB yang merentasi 1,700 kilometer hingga ke Tumpat, Kelantan.
Enam Telko Terlibat, Ujian Sudah Dijalankan
Semasa perjalanan dari KL Sentral ke Segamat, SKMM menjalankan ujian kelajuan internet secara langsung bersama enam pembekal rangkaian mudah alih utama:
- CelcomDigi
- Maxis
- U Mobile
- TM Tech
- YTL Communications
- Digital Nasional Berhad (DNB)
Ujian tersebut dijalankan di dua stesen iaitu Kajang dan Pulau Sebang/Tampin meliputi parameter seperti kelajuan muat turun dan muat naik, kestabilan sambungan serta liputan tanpa gangguan.
71% Kawasan Sudah Ada Rangkaian Internet 5G
SKMM mendedahkan bahawa 71% kawasan liputan sepanjang laluan ini sudah dilengkapi perkhidmatan 5G. Walau bagaimanapun, masih ada lokasi yang menghadapi masalah, terutama di kawasan luar bandar:
- Negeri Sembilan
- Melaka
- Utara Johor
Kawasan-kawasan ini masih memerlukan penambahbaikan oleh pembekal perkhidmatan.
Bengkel Menyeluruh Akan Diadakan
Fahmi turut meminta SKMM, KTMB, Perbadanan Aset Kereta Api (RAC) dan kesemua enam syarikat telekomunikasi mengadakan bengkel khas dalam masa terdekat bagi mengenal pasti kawasan yang memiliki liputan Internet yang lemah di seluruh rangkaian KTMB dan mencari penyelesaiannya untuk jangka pendek dan panjang.
Beliau juga menekankan keperluan pendekatan yang lebih menyeluruh walaupun RAC dan KTMB sudah ada kemudahan WiFi sedia ada, infrastruktur pasif seperti menara perlu dikongsi bersama oleh semua telko.
“Kita tidak kisah syarikat mana pun, asalkan infrastruktur yang ada boleh digunakan bersama,” kata Fahmi.
Pengguna tren ETS boleh menantikan perubahan dalam masa sebulan akan datang sekurang-kurangnya di laluan KL Sentral–Segamat terlebih dahulu, sebelum penambahbaikan dikembangkan ke seluruh rangkaian KTMB.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
