DOSM: Rakyat Malaysia Mula Jana Lebihan Pendapatan Pada Usia 29, Capai Puncak Di Usia 44

KONGSI

Rakyat Malaysia secara puratanya mula memperoleh lebih daripada yang mereka belanjakan pada usia 29. Lebihan wang itu mencapai kemuncaknya pada usia 44, dengan lebihan sekitar RM14,523 bagi setiap orang dalam setahun, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Selepas usia 44 tahun, lebihan itu mula menyusut sedikit demi sedikit. Menjelang usia 56, pendapatan mula jatuh semula ke bawah paras perbelanjaan terutama apabila kos penjagaan kesihatan mula meningkat.

Ini adalah antara dapatan utama dalam Akaun Pindahan Nasional (NTA) Malaysia 2022, yang menganalisis corak pendapatan dan perbelanjaan seseorang sepanjang hayatnya.

Golongan Muda dan Warga Emas Bergantung pada Mereka yang Bekerja

Data NTA menunjukkan corak yang jelas. Golongan muda dan warga emas biasanya berbelanja lebih daripada apa yang mereka peroleh. Bagi golongan yang bekerja pula memperoleh lebih daripada yang mereka belanjakan, dan lebihan inilah yang menyokong ekonomi negara. 

Pada tahun 2022, rakyat Malaysia secara keseluruhannya berbelanja sebanyak RM1,241 bilion, tetapi hanya memperoleh RM764 bilion melalui pekerjaan. Ini bermakna, terdapat jurang sebesar RM477 bilion yang perlu ditampung. Wang itu datang daripada simpanan dan pelaburan, serta bantuan kerajaan dan keluarga. 

Simpanan dan pelaburan sahaja menyumbang RM491 bilion, cukup untuk menutup keseluruhan jurang tersebut. Sebahagian besarnya datang daripada sektor swasta.

Pendapatan Paling Tinggi Sekitar Usia 49

Dari segi sumber pendapatan buruh, gaji menyumbang RM586 bilion, manakala pendapatan daripada pekerjaan sendiri pula berjumlah RM178 bilion. Bagi kedua-dua kumpulan ini, pendapatan biasanya berada pada tahap tertinggi sekitar usia 49. 

Secara purata, rakyat Malaysia membelanjakan sekitar RM37,947 setahun. Sebahagian besar perbelanjaan ini ditanggung oleh isi rumah, sementara perbelanjaan awam lebih tertumpu pada pendidikan dan penjagaan kesihatan.

Kerajaan Tampung Kos Pendidikan dan Kesihatan, Isi Rumah Tampung Selebihnya

Laporan DOSM turut menunjukkan pembahagian yang jelas iaitu kerajaan menanggung kos pendidikan untuk golongan muda dan kos penjagaan kesihatan untuk warga emas. Isi rumah pula menanggung perbelanjaan harian seperti perumahan, makanan, dan pakaian.

Perbelanjaan swasta untuk pendidikan lebih tinggi pada peringkat usia muda. Sebaliknya, perbelanjaan penjagaan kesihatan meningkat apabila usia bertambah.

Malaysia Antara Negara Pertama Gunakan Kerangka NTA Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu

DOSM menyatakan ini merupakan kali pertama Malaysia menggunakan kerangka NTA Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan ini menjadikan Malaysia antara beberapa negara di dunia yang menerbitkan analisis jenis ini selepas Korea Selatan dan Colombia, berdasarkan data ekonomi dan populasi rasmi.

Laporan ini juga menyoroti satu realiti yang semakin mendesak dimana populasi Malaysia yang semakin menua, peranan golongan usia bekerja dalam menampung ekonomi negara akan menjadi semakin penting pada masa hadapan.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.  

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments