Eksport halal Malaysia terus merekodkan pertumbuhan. Pada 2025, nilai eksport mencapai RM68.52 bilion iaitu meningkat sebanyak 10.9% berbanding tahun sebelumnya, mengikut data yang dikeluarkan oleh Perbadanan Pembangunan Halal Malaysia (HDC)
Jumlah itu mewakili 4.3% daripada keseluruhan eksport Malaysia yang naik 0.2% berbanding 2024.
Makanan dan Minuman Jadi Peneraju Utama
Segmen makanan dan minuman (F&B) kekal sebagai penyumbang terbesar, menyumbang RM36.86 bilion atau 53.8% daripada jumlah eksport halal. Ramuan halal (halal ingredients) pula menyumbang RM21.39 bilion (31.2%).
Apa yang lebih menarik lagi, eksport minyak sawit dan produk terbitan juga melonjak sebanyak 55% kepada RM4.57 bilion. Ini adalah antara pertumbuhan yang paling ketara dalam kategori eksport halal tahun ini.
HDC menyatakan corak ini memperlihatkan kekuatan Malaysia dalam sektor halal teras, dalam masa yang sama membuka peluang untuk mengembangkan produk yang lebih tinggi nilainya seperti farmaseutikal dan bahan-bahan halal.
China, Singapura dan Amerika Syarikat Jadi Pasaran Utama Produk Halal Malaysia
Malaysia tidak bergantung pada satu atau dua pasaran sahaja. Eksport halal negara tersebar luas merentasi rantau Asia dan Barat:
- China: RM9 bilion (13.2%)
- Singapura: RM7.11 bilion (10.4%)
- Amerika Syarikat: RM4.46 bilion (6.5%)
- Jepun: RM4.22 bilion (6.2%)
- Indonesia: RM3.51 bilion (5.1%)
Kepelbagaian pasaran ini, kata HDC, mengukuhkan daya tahan Malaysia terhadap sebarang gangguan ekonomi serantau.
Pelaburan Dalam Sektor Halal Negara Kekal Kukuh
Pelaburan kumulatif dalam sektor industri halal Malaysia juga menunjukkan pertumbuhan yang konsisten, ini mencerminkan keyakinan pelabur masih tinggi terhadap ekosistem halal negara. Faktor utama yang menyokong keyakinan ini termasuk tadbir urus yang kukuh, kredibiliti pensijilan, dan pembangunan industri yang bersepadu.
HDC turut melihat peluang di rantau yang sedang pulih daripada konflik, termasuk menyokong pembinaan semula rantaian bekalan halal di kawasan berkenaan.
Di dalam negara pula, tumpuan HDC untuk tempoh akan datang meliputi tiga perkara iaitu pemberdayaan PKS, kesediaan eksport, dan pengukuhan ekosistem halal termasuk melalui platform digital HDC Halal Integrated Platform.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
