KKM Akan Perkenal Format Preskripsi Baharu, Lebih Terperinci Dengan Status Alahan Ubat Pesakit

KONGSI

Mulai tahun hadapan, slip preskripsi di klinik dan hospital kerajaan akan menjadi lebih terperinci.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memperkenalkan format preskripsi baharu yang merangkumi status alahan ubat pesakit. Maklumat ini tidak ada dalam format semasa.

Format Lama Tiada Status Alahan Ubat Pesakit

Dalam format preskripsi yang diguna pakai sekarang, slip preskripsi hanya merekodkan nama pesakit, nombor MyKad, umur, tarikh dan jenis penyakit.

Status alahan ubat pesakit bagaimanapun tidak dinyatakan dan perkara ini boleh mendatangkan risiko kepada pesakit sekiranya doktor atau ahli farmasi tidak mengetahuinya.

Ketua Pengarah Kesihatan KKM, Datuk Dr Mahathar Abd Wahab berkata, kementerian telah menyemak semula format sedia ada dan mendapati ia tidak memenuhi keperluan undang-undang serta peraturan semasa.

“Tiada elemen keselamatan ubat, khususnya status alergi ubat pesakit. Amalan pengendalian preskripsi pesakit wad juga tidak diseragamkan di seluruh fasiliti kesihatan kami,” katanya.

Apa Yang Akan Berubah

Format preskripsi baharu akan merekodkan maklumat berikut:

  • Nama penuh
  • Umur
  • Nombor MyKad
  • Berat badan
  • Jantina
  • Butiran hubungan
  • Diagnosis
  • Status alergi ubat (ini yang baharu)
  • Status kewarganegaraan
  • Butiran ubat termasuk bentuk dos, nama ubat, dos, kekerapan, tempoh dan kuantiti yang diberikan

Perubahan ini bukan sahaja untuk preskripsi bertulis tangan, malah ia turut meliputi fasiliti yang menggunakan sistem Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).

Kenapa Perubahan Ini Dilaksanakan?

Selain isu keselamatan pesakit, KKM juga perlu mematuhi beberapa undang-undang yang sedang berkuat kuasa, iaitu:

  • Seksyen 21 (2) Akta Racun 1952
  • Peraturan 11 (2) Peraturan-Peraturan Racun (Bahan Psikotropik) 1989
  • Peraturan 11 (2) Peraturan-Peraturan Dadah Berbahaya 1952

Undang-undang ini mewajibkan setiap preskripsi mengandungi butiran lengkap pesakit dan pengamal perubatan, namun format lama tidak menyokong keperluan ini. sepenuhnya.

Format preskripsi baharu akan berkuat kuasa Januari 2027

Format preskripsi baharu ini akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2027. Namun, fasiliti kesihatan yang kehabisan stok preskripsi lama boleh mula menggunakan format baharu lebih awal.

Bagi mengelakkan pembaziran, fasiliti yang masih berbaki stok lama dibenarkan untuk menggunakannya sehingga habis selepas tarikh tersebut. Walau bagaimanapun, perancangan untuk mencetak dan mendapatkan format baharu perlu dilakukan secara berperingkat dari sekarang.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments