Satu perbualan yang tidak sengaja didengari di sebuah kedai tart nanas di Sabak Bernam telah mengubah arah perniagaan Nurul Asyiqin Mohamad Ramli.
Ketika menemani ibunya membeli tart nanas dan biskut makmur, beliau terdengar seorang usahawan PKS menyebut angka yang membuatkan dia terdiam. RM1.8 juta dalam masa empat bulan. Hanya dengan menjual kuih raya.
“Bayangkan, hanya dari tart nanas dan biskut makmur boleh dapat sebanyak itu. Walaupun turun dari RM2 juta tahun sebelumnya, RM1.8 juta tetap satu angka yang besar bagi saya, dan ia buat saya tertanya-tanya kenapa saya tidak fokus kepada biskut,” katanya.
Pada waktu itu, Nurul Asyiqin hanya menjual kek dengan meraih pendapatan sekitar RM400 sebulan sahaja.
“Jualan mingguan hanya dalam lingkungan RM200. Separuh untuk gaji saya, bakinya masuk semula ke dalam perniagaan.”
Siapa sangka, satu keputusan yang dibuat dapat mengubah seluruh kehidupannya. Nurul Asyiqin membuat keputusan untuk berhenti dari menjual kek dan mula fokus terhadap pembuatan serta jualan biskut.
Mula Berniaga Biskut Dengan Modal RM3,000 dan Sebuah Ketuhar
Peralihan ke perniagaan biskut bukannya sesuatu yang mudah pada awalnya kerana modal yang agak terhad serta tiada peralatan yang lengkap Nurul Asyiqin bermula dengan hanya dua jenis biskut buatan sendiri, sambil menampung jualan dengan produk daripada usahawan lain.
Untuk menambah modal, peniaga ini memohon bantuan kewangan daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). Prosesnya lebih mudah daripada yang disangkakan.
“Saya hanya perlu tunjukkan pendaftaran SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia), bukti beroperasi selama enam bulan dan gambar perniagaan. Lebih kurang dua minggu kemudian, saya dipanggil untuk temuduga,” jelasnya.
Bantuan sebanyak RM3,000 yang diterima itu kemudiannya digunakan untuk membeli ketuhar yang sesuai.
Pernah Ditimpa Ujian, 2,000 Balang Biskut Tidak Terjual
Nurul Asyiqin mula menjual biskut pada hujung tahun 2019 dengan harga RM25 sebalang di bawah jenama Cocokins. Pada awal perniagaan segalanya kelihatan baik-baik sahaja sehinggalah Covid-19 melanda.
Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama pada tahun 2020, jualannya hampir tergendalai kerana pada ketika itu diahanya ada tujuh hingga lapan ejen sahaja.Rekod jualan kemudiannya menjadi lebih teruk pada tahun 2021 ketika beberapa minggu sebelum Hari Raya Aidilfitri apabila sekatan perjalanan antara negeri menyebabkan permintaan biskutnya jatuh mendadak. Lebih 2,000 balang biskut dipulangkan tanpa terjual.
Dengan pengalaman pemasaran dalam talian yang terhad dan kerugian yang berat, Nurul Asyiqin memilih untuk menderma semua biskut itu kepada rumah-rumah anak yatim.
Nurul Asyiqin Kembali Bangkit, Dari Tiga Angka ke Lima Angka
Nurul Asyiqin tidak menyerah. Dia kembali bangkit dengan menghadiri kursus, bengkel dan seminar keusahawanan untuk memperbaiki strategi pemasarannya.
Pada 2022, satu lagi bantuan diterima Nurul Asyiqin iaitu zakat bernilai RM10,000 melalui kerjasama MAIWP dan SME Corp Malaysia.
“Alhamdulillah, perniagaan semakin berkembang, daripada tiga angka pada peringkat awal, naik kepada empat angka, dan kini sudah mencecah lima angka,” katanya.
Hari ini, Cocokins menghasilkan 500 hingga 700 balang atau pek kapsul sebulan. Antara jenis-jenis biskut yang dijual termasuklah coklat cip, dark chocolate, red velvet, pistachio dan tart nanas. Semasa musim perayaan, jualannya boleh mencecah RM100,000.
Biskut Berharga Jadi Permintaan Ramai Pelanggan
Untuk menonjol dalam pasaran yang semakin mencabar ini, Nurul Asyiqin memperkenalkan konsep bekas kapsul berharga RM7 seunit, harga tersebut jauh lebih berpatutan daripada sebalang biskut yang boleh mencecah RM30.
“Kadang-kadang orang hanya nak sikit (biskut) sahaja. Sebalang boleh cecah RM30, dengan harga tu boleh beli makanan yang lebih mengenyangkan. Budak-budak pun tak makan banyak,” katanya.
Kapsul RM7 itu kini popular bukan sahaja untuk dimakan pembeli, malah dijadikan cenderahati perkahwinan. Malah, produk Cocokins juga kini sudah ada di stesen minyak, hospital, kafe serta agensi kerajaan dan swasta.
Selain itu, Nurul Asyiqin juga dapat berkongsi rezeki dengan membuka peluang pendapatan kepada ibu tunggal dan penjual sambilan yang menjadi ejen-ejennya.
Projek Bangkit: RM50,000 dan RM1 Juta Dalam Promosi
Pencapaian Nurul Asyiqin mencapai kepada kemuncaknya apabila dia muncul sebagai juara Projek Bangkit dalam program realiti keusahawanan anjuran MAIWP bersama TV AlHijrah.
Program lapan minggu bermula Oktober 2025 ini melibatkan 21 peserta. Hadiah utama termasuk geran RM50,000, tajaan promosi bernilai RM1 juta dan bimbingan perniagaan secara langsung.
Kemenangan itu bukan sekadar wang, ia turut membawa janama Cocokins lebih dikenali di serata Malaysia.
Latar belakang Nurul Asyiqin sendiri tidaklah datang dari dunia perniagaan semata-mata. Asyiqin pernah belajar Kejuruteraan Mekanikal di Sekolah Menengah Teknik Shah Alam, kemudian melanjutkan Diploma Seni Kulinari di Food Institute Malaysia dan menghabiskan kira-kira setahun di Amerika Syarikat antara 2011 dan 2012.
Difahamkan, Nurul Asyiqin kini fokus untuk mendapatkan pensijilan halal dan memperkukuhkan lagi jenamanya.
Kisah Nurul Asyiqin ini boleh menjadi inspirasi buat ramai orang. Siapa sangka, satu ayat yang terdengar secara tidak sengaja dan keberanian mengambil tindakan baharu boleh mengubah seluruh hidup seseorang.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
