FELCRA Ambil Langkah Berjimat, Batalkan Rumah Terbuka Aidilfitri Tahun 2026

KONGSI

Tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum umat Islam bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri. Mesti ramai di antara kita yang sudah merancang untuk mengadakan rumah terbuka.

Bahkan syarikat-syarikat besar juga akan mengadakan rumah terbuka bagi meraikan Aidilfitri bersama para pekerjanya.

FELCRA Umum Pembatalan Rumah Terbuka Aidilfitri

Walau bagaimanapun, FELCRA Berhad pula mengambil beberapa inisiatif sebagai langkah penjimatan. Ini termasuk membatalkan sambutan rumah terbuka Aidilfitri, mengadakan mesyuarat secara dalam talian dan berkongsi kenderaan.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub berkata, langkah penjimatan itu dilakukan sebagai persediaan berdepan sebarang kemungkinan susulan krisis kewangan akibat keadaan ekonomi dunia.

Namun katanya, pihak pengurusan akan mengadakan perbincangan berhubung langkah penjimatan berkenaan selepas Aidilfitri.

FELCRA Batalkan Juga Majlis Berbuka Puasa 

Menurutnya, selain rumah terbuka Aidilfitri. FELCRA turut membatalkan majlis berbuka puasa yang sepatutnya diadakan pada penghujung Ramadan ini sebagai langkah penjimatan.

“Inisiatif penjimatan ini turut diperluaskan kepada 16 anak syarikat FELCRA. Pihak pengurusan akan mengadakan perbincangan selepas Aidilfitri untuk memperhalusi beberapa kaedah penjimatan kos operasi.

“Antara cadangan yang dipertimbangkan termasuk bekerja dari rumah (WFH), perkongsian kenderaan untuk menghadiri acara membabitkan lokasi sama, dan pelaksanaan mesyuarat secara dalam talian,” katanya.

Melaksanakan Mesyuarat Secara Dalam Talian Adalah Langkah Yang Berkesan

Pendekatan mesyuarat dalam talian disifatkan sebagai satu inisiatif yang berkesan. Ia mampu mengelakkan syarikat daripada menanggung kos pengangkutan dan penginapan ahli-ahli Lembaga Pengarah.

“Setakat ini, arahan secara tidak rasmi kita sudah keluarkan supaya sebarang program atau urusan yang tidak mendesak ditangguhkan buat sementara waktu sehingga perbincangan lanjut,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Jazlan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan turut memaklumkan rumah terbuka Aidilfitri UMNO Kelantan juga dibatalkan.

Menurutnya, keputusan itu dibuat sebagai menyahut saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan amalan berjimat-cermat.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments