Cadangan untuk membenarkan pencarum menggunakan sebahagian simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membeli perlindungan insurans kesihatan asas kini menjadi perdebatan dalam kalangan pakar kewangan dan ekonomi.
Perkara ini dikaitkan dengan rancangan kerajaan untuk memperluas perlindungan Medical and Health Insurance/Takaful (MHIT) kepada lebih ramai rakyat Malaysia. Pencarum mungkin boleh menggunakan simpanan dalam Akaun 2 (Akaun Sejahtera) bagi membayar perlindungan kesihatan asas kategori premium.
Cadangan itu walau bagaimanapun telah mendapat pelbagai reaksi. Ada yang melihatnya sebagai langkah positif untuk meningkatkan perlindungan kesihatan rakyat. Ada juga yang bimbang jika ia boleh menjejaskan simpanan persaraan untuk masa hadapan.
Boleh Bantu Lebih Ramai Individu Memiliki Perlindungan Kesihatan
Segelintir pakar berpendapat bahawa langkah ini berpotensi untuk membantu lebih ramai rakyat Malaysia mendapatkan perlindungan kesihatan.
Ini kerana masih ramai yang tidak mempunyai insurans atau takaful perubatan akibat kos premium yang tinggi.
Dengan membenarkan penggunaan sebahagian simpanan KWSP, pencarum mungkin dapat membeli perlindungan kesihatan asas yang sebelum ini sukar dibayar menggunakan pendapatan bulanan.
Selain itu, langkah ini juga boleh membantu mengurangkan beban kewangan sekiranya berlaku kecemasan perubatan yang memerlukan kos rawatan tinggi.
Kebimbangan Simpanan Persaraan Semakin Berkurang
Namun, terdapat juga pakar yang mengingatkan bahawa tujuan utama simpanan KWSP adalah untuk memastikan rakyat mempunyai duit yang mencukupi selepas bersara.
Jika terlalu banyak pengeluaran dibenarkan untuk tujuan lain, ia berisiko mengurangkan simpanan persaraan pencarum.
Kebimbangan ini timbul kerana masih ada lagi rakyat Malaysia yang tidak mempunyai simpanan persaraan yang mencukupi.
Oleh itu, sebarang dasar yang melibatkan pengeluaran daripada KWSP perlu diteliti dengan berhati-hati.
Apa Kesannya Terhadap Pencarum KWSP?
Sekiranya cadangan ini dilaksanakan, ia boleh memberi beberapa kesan kepada pencarum:
- Akses kepada perlindungan kesihatan asas: Pencarum yang tidak mempunyai insurans perubatan mungkin boleh mendapatkan perlindungan dengan menggunakan sebahagian simpanan dalam Akaun 2.
- Kurang tekanan kewangan bulanan: Jika premium insurans dibayar menggunakan simpanan KWSP, pencarum tidak perlu menanggung sepenuhnya kos tersebut daripada gaji bulanan.
- Simpanan persaraan mungkin berkurang: Pada masa yang sama, penggunaan simpanan ini bermakna jumlah wang yang tersedia untuk persaraan akan menjadi lebih kecil.
Perlu Keseimbangan Antara Kesihatan dan Persaraan
Secara keseluruhan, cadangan ini menunjukkan situasi dilema antara dua keperluan penting. Memastikan rakyat mempunyai perlindungan kesihatan yang mencukupi dan pada masa sama mahu melindungi simpanan persaraan mereka.
Pakar memberi pandangan mereka bahawa sebarang pelaksanaan skim ini perlu dirangka dengan teliti. Agar ia benar-benar membantu rakyat tanpa menjejaskan keselamatan kewangan mereka pada masa hadapan.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
