Pasti ada yang gemar melihat duit simpanan yang ada di dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sambil terbayang alangkah indah jika kesemua wang ini dapat dikeluarkan secara bebas.
Jika anda adalah orangnya, jangan risau anda tak keseorangan.
Namun, perlu diingatkan bahawa kerajaan menetapkan syarat pengeluaran yang ketat bagi memastikan para pekerja terutamanya rakyat Malaysia mempunyai simpanan yang mencukupi selepas bersara nanti.
Isu duit KWSP untuk bersara dan bukannya ‘shopping’ raya cetus perdebatan
Baru-baru ini, kenyataan seorang pengguna Threads mengenai duit simpanan KWSP adalah untuk kegunaan selepas bersara dan bukannya untuk membeli-belah barangan raya telah mencetus perdebatan ramai.
“KWSP ini duit untuk bersara, bukan duit untuk beli-belah raya,” tulis lelaki yang dikenali sebagai Dr Adam Zubir.
Kenyataan yang dimuat naik oleh Dr Adam itu kemudiannya mendapat lebih 8,000 tanda suka dan kira-kira 385 komen.
View on Threads
Ramai setuju duit simpanan KWSP untuk bersara
Menjengah ke ruangan komen, kebanyakan pengguna laman Threads bersetuju dengan kenyataan Dr Adam. Wang tersebut tidak sepatutnya dibelanjakan untuk persiapan raya.
“Betul tu, KWSP simpanan hari tua, bukan tabung raya bila rasa poket nipis. Sekali keluarkan senang, nak ganti balik ambil masa bertahun. Raya setahun sekali, tapi bersara itu lama. Fikir jauh sikit sebelum sentuh duit itu,” komen seorang pengguna Threads.
“Setuju, semua nak harapkan duit KWSP susah lah macam itu, jadi malas nak usaha,” kata seorang lagi individu.
Malah, ada juga yang berpandangan bahawa kesemua duit simpanan yang ada di dalam akaun fleksibel tidak sepatutnya dikeluarkan langsung. Demi memaksimumkan keuntungan dividen setiap tahun.
Masalah kewangan punca sesetengah individu terfikir mahu keluarkan duit KWSP
Walau bagaimanapun, segelintir individu pula berpandangan sebaliknya dengan menyatakan bahawa segelintir individu yang ingin mengeluarkan duit simpanan itu adalah kerana dihimpit masalah kewangan.
“Bagaimana mereka boleh bimbang tentang masa depan sedangkan kehidupan ketika ini sudah cukup mencabar? Sesetengah orang mungkin hanya mahu menggunakan duit itu (KWSP) untuk meneruskan kehidupan, bukan semuanya tentang raya,” tulis seorang wanita.
Tidak kurang juga yang mendakwa bahawa duit di dalam KWSP tersebut adalah hak mereka dan pencarum sepatutnya boleh membelanjakannya secara bebas.
Seimbang Antara Keperluan Hari Ini dan Masa Depan
Debat mengenai pengeluaran KWSP mencerminkan dilema yang dihadapi oleh ramai rakyat Malaysia antara keperluan kewangan mendesak hari ini dan keselamatan kewangan pada masa depan.
Mereka yang menyokong kawalan ketat terhadap pengeluaran mempunyai pandangan yang kukuh tentang kehidupan di hari persaraan nanti. Tetapi mereka yang menginginkan pengeluaran yang lebih fleksibel juga mempunyai alasan yang masuk akal iaitu masalah kewangan yang mendesak tidak boleh diabaikan.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
