Pernah tak anda terfikir berapa banyak duit yang kita habiskan semata-mata untuk pergi ke pejabat setiap hari? Antara kos petrol, tol, tambang pengangkutan awam, dan paling tak boleh elak adalah harga makan tengah hari di bandar yang semakin mahal.
Baru-baru ini, terdapat cadangan daripada Angkatan Muda Keadilan (AMK) supaya kerajaan mempertimbangkan semula pelaksanaan dasar Kerja Dari Rumah (WFH) secara bersasar.
Cadangan ini muncul susulan lonjakan harga minyak dunia akibat ketegangan geopolitik di Asia Barat yang memberi kesan langsung kepada kos sara rakyat.
WFH Dapat Kurangkan Penggunaan Bahan Api
Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata langkah itu bertujuan untuk membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan bandar.
Menurutnya, ia juga mampu menjimatkan kos pengangkutan rakyat dan menyumbang kepada pengurangan penggunaan bahan api dalam ekonomi masa kini.
“Pelaksanaan dasar ini boleh dimulakan di pejabat kerajaan, agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), sebelum diperluaskan kepada sektor swasta yang bersesuaian mengikut keperluan operasi masing-masing.
“Dalam masa sama, langkah tersebut berpotensi membantu kerajaan mengurus perbelanjaan subsidi bahan api dengan lebih berhemah selain mengurangkan beban kos kepada rakyat yang terkesan dengan peningkatan harga minyak dunia,” kata Muhammad Kamil.
Kenapa WFH Boleh Selamatkan Bajet Anda?
Apabila kita bercakap tentang kewangan peribadi, setiap sen adalah sangat berharga. Jika anda bekerja di pejabat, anda secara automatik mempunyai ‘kos harian yang sudah tetap untuk tujuan pergerakan.
Dengan adanya pelaksanaan WFH, anda boleh mengurangkan perbelanjaan perjalanan dengan penjimatan berganda. Bayangkan jika anda mampu menjimatkan RM10 hingga RM20 sehari untuk minyak dan tol, dalam sebulan anda sudah ada tambahan RM200 hingga RM400 dalam simpanan.
Bukan itu sahaja, anda juga dapat mengurangkan perbelanjaan untuk makan di luar. Memasak di rumah bukan sahaja lebih sihat, malah jauh lebih murah berbanding harga hidangan di kafe atau restoran sekitar kawasan pejabat.
Bukan Semua Sektor Sesuai Untuk WFH, Tapi Ia Satu Langkah Yang Proaktif
Kita faham bahawa tidak semua pekerjaan boleh dilakukan dari rumah. Sektor perkilangan, perkhidmatan barisan hadapan, dan logistik masih memerlukan kehadiran pekerja secara fizikal.
Namun, untuk sektor yang berasaskan pejabat dan digital, pendekatan WFH bersasar ini dilihat sebagai langkah yang sangat praktikal. Ia bukan sahaja membantu pekerja menguruskan kewangan, malah membantu kerajaan dalam mengurangkan penggunaan bahan api negara secara keseluruhan.
Apabila kurang kenderaan di atas jalan raya, trafik pun kurang sesak. Kurang stres di jalan raya, produktiviti pun mungkin meningkat!
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
