Bank Dunia Cadang Harga Subsidi RON95 Dinaikkan Semula Kepada RM2.05 Seliter 

KONGSI

Kos subsidi bahan api Malaysia sudah mencecah RM4 bilion sebulan, kenaikan ini berlaku berikutan lonjakan harga minyak global akibat krisis di Timur Tengah.

Susulan daripada jumlah yang terlalu besar perlu ditanggung kerajaan, Ketua Ekonomi Bank Dunia untuk Malaysia, Dr. Apurva Sanghi mencadangkan agar harga RON95 bersubsidi yang kini RM1.99 seliter dinaikan kepada RM2.05.

Cadangan ini dikemukakan semasa taklimat laporan Malaysia Economic Monitor (MEM) baru-baru ini.

Kenapa Perlu Naikan Harga Subsidi RON95?

Harga minyak mentah Brent kini menjangkaui US$100 setong. Tapi Belanjawan 2026 hanya mengandaikan US$65 setong. Jurang itulah yang menyebabkan kos subsidi melonjak daripada RM700 juta sebulan pada Januari 2026 kepada RM4 bilion pada April ini.

Untuk mengawalnya, kerajaan telah mengurangkan kuota petrol bersubsidi di bawah skim BUDI95 daripada 300 liter menjadi 200 liter sebulan.

Apurva mengakui bahawa tindakan itu adalah langkah yang betul. Namun, katanya kumpulan 10% dan 20% berpendapatan tinggi di Malaysia menggunakan lebih daripada 200 liter sebulan. Ini bermakna, subsidi itu masih lebih banyak menguntungkan mereka.

Kuota atau Harga, Kerajaan Perlu Buat Pilihan

Dengan konflik AS-Israel dan Iran yang masih belum selesai, Apurva menegaskan kerajaan perlu ada pelan B.

“Jika keadaan terus memburuk, perlu ada sesuatu pelarasan yang dibuat. Sama ada melalui kuota atau harga, kedua-duanya boleh dilaksanakan,” katanya.

Beliau juga menyatakan Malaysia berbeza berbanding Thailand dan Filipina. Di kedua-dua negara itu, harga bahan api yang lebih tinggi telah mengurangkan penggunaan. Malaysia pula memilih untuk kekalkan harga rendah bagi elakkan demand destruction iaitu pemberhentian aktiviti ekonomi akibat harga tinggi.

“Persoalannya, berapa lama kerajaan boleh terus bertahan?” kata Apurva. Buat masa ini, tiada jawapan yang pasti.

Jangan Tambah Subsidi atau Rangsangan Fiskal

Satu lagi mesej yang diberikan oleh Bank Dunia ialah jangan tambah subsidi atau rangsangan fiskal besar-besaran dalam keadaan sekarang.

“Buat masa ini, tidak perlu ada sebarang rangsangan. Jika ada pun, ia boleh menambah tekanan inflasi,” kata Apurva.

Menurutnya lagi, Malaysia kini berada dalam pertumbuhan ekonomi yang kukuh dengan inflasi yang masih terkawal, tetapi situasi ini boleh berubah jika kerajaan tidak berhati-hati.

Bukan Sekadar Krisis Minyak

Walaupun Malaysia mendapat manfaat sebagai pengeksport tenaga bersih, kenaikan harga minyak global membawa kesan yang lebih luas.

Kata Apurva, kos subsidi bahan api semakin meningkat secara pesat dan kesannya bukan sekadar di pam minyak sahaja

“Ini bukan lagi sekadar krisis minyak. Ia merebak kepada makanan, baja, produk penapisan, dan banyak lagi,” kata Apurva.

Jelasnya, kos logistik dan pengangkutan yang meningkat akhirnya akan memberi kesan kepada harga barangan keperluan dan perbelanjaan isi rumah Malaysia secara keseluruhannya.

Jika anda ingin tahu mengenai harga petrol dan diesel semasa di Malaysia, anda boleh baca artikel harga minyak Malaysia terkini (RON95, RON97 & Diesel) kami.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments