Harga Simen Naik, Pasaran Buruh Di Malaysia Kekal Stabil – DOSM

KONGSI

Data terbaharu yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memberi gambaran terkini tentang keadaan ekonomi negara.

Secara ringkas, ekonomi Malaysia masih menunjukkan momentum yang positif dengan sektor pembuatan yang semakin berkembang, pasaran buruh kekal stabil, dan aktiviti industri yang terus meningkat.

Namun dalam masa yang sama, terdapat juga perubahan pada harga bahan binaan yang boleh memberi kesan kepada kos pembinaan dan harga rumah.

Berikut antara perkara penting yang perlu anda tahu.

Harga Simen Meningkat, Tetapi Harga Keluli Pula Turun

Data terkini menunjukkan harga simen telah meningkat antara 0.8% hingga 5.9% pada Februari 2026 berbanding tahun lepas. Dalam masa yang sama, harga keluli pula menurun antara 1.2% hingga 8.1%.

Perubahan dalam harga bahan binaan ini dianggap penting kerana ia boleh mempengaruhi kos projek pembinaan seperti pembinaan rumah, projek infrastruktur dan pembangunan komersial.

Jika kos bahan ini meningkat secara berterusan, ia berpotensi untuk memberi tekanan kepada harga hartanah pada masa depan. Namun penurunan harga keluli pula sedikit sebanyak membantu dalam mengimbangi kenaikan kos tersebut.

Pasaran Buruh Malaysia Kekal Kukuh

Kadar pengangguran Malaysia pula kekal sekitar 2.9%, antara kadar terendah dalam tempoh lebih sedekad.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pasaran buruh negara pada Januari 2026 kekal meningkat selaras dengan pertumbuhan ekonomi dan pertumbuhan dalam penggunaan tenaga kerja yang stabil serta kadar pengangguran yang kekal rendah.

“Oleh itu, tenaga buruh meneruskan momentum positif sepanjang bulan tersebut, meningkat sebanyak 0.1%bulan ke bulan kepada 17.28 juta orang (Disember 2025: 17.27 juta orang).

“Sehubungan itu, kadar penyertaan tenaga buruh meningkat sedikit sebanyak 0.1% kepada 70.9% (Disember 2025: 70.8%), menunjukkan lebih banyak penyertaan buruh dalam pasaran,” katanya.

Mohd Uzir berkata bilangan penduduk bekerja terus meningkat pada bulan tersebut, dengan kenaikan marginal sebanyak 0.04% kepada 16.77 juta orang berbanding 16.76 juta orang pada Disember 2025.

Pada masa yang sama, bilangan penganggur mencatatkan sedikit peningkatan sebanyak 0.3% iaitu mencecah 509,600 orang (Disember 2025: 508.0 ribu orang).

Foto: Facebook/DOSM

Jualan Sektor Pembuatan Terus Berkembang

Selain itu, sektor pembuatan juga menunjukkan prestasi yang memberangsangkan.

Menurut data DOSM, jumlah jualan sektor pembuatan mencecah sekitar RM169.4 bilion pada Januari 2026, meningkat kira-kira 7.1% berbanding tahun sebelumnya.

Pertumbuhan ini banyak disokong oleh industri elektrik dan elektronik (E&E) serta produk berorientasikan eksport.

Sektor ini memainkan peranan penting kerana ia antara penyumbang utama kepada ekonomi Malaysia serta peluang pekerjaan.

Pengeluaran Industri Meningkat

Selain jualan pembuatan, Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) juga mencatatkan peningkatan sekitar 5.9% pada Januari 2026.

Peningkatan ini menunjukkan bahawa aktiviti kilang semakin aktif, permintaan terhadap produk industri masih kukuh dan ekonomi terus berkembang secara sederhana.

Secara umum, pertumbuhan dalam sektor industri sering menjadi petunjuk bahawa ekonomi sedang berada dalam fasa yang sihat.

Banci Ekonomi 2026 Libatkan Lebih 1 Juta Perniagaan

Dalam perkembangan lain, DOSM kini sedang menjalankan Banci Ekonomi 2026 yang melibatkan kira-kira 1.34 juta pertubuhan perniagaan di seluruh negara.

Banci ini dijalankan setiap lima tahun untuk  mengumpul data terkini tentang perniagaan, memahami struktur ekonomi negara dan membantu kerajaan merangka dasar ekonomi yang lebih tepat.

Maklumat daripada banci ini juga penting untuk menilai bagaimana perniagaan berkembang selepas beberapa tahun berdepan cabaran ekonomi global.

Ekonomi Malaysia Masih Stabil

Secara ringkasnya, data yang dikeluarkan oleh DOSM itu menunjukkan bahawa ekonomi Malaysia masih berada dalam keadaanstabil.

Walaupun terdapat perubahan pada harga bahan binaan seperti simen dan keluli, sektor pembuatan, industri dan pasaran buruh terus menunjukkan perkembangan positif.

Secara tidak langsung,erkembangan ini memberi gambaran bahawa ekonomi domestik masih kukuh, meskipun dunia luar pada ketika ini berdepan ketidaktentuan.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments