Pada 1 Jun 2026, dua set peraturan baharu telah berkuat kuasa di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Online Safety Act 2025, ONSA). Ia melibatkan semua pembekal platform media sosial berlesen di Malaysia termasuk Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube.
Dua perkara utama yang berubah adalah pengiklan berbayar wajib sahkan identiti dan pengguna bawah 16 tahun tidak lagi boleh mendaftar akaun baharu.
Pengiklan Berbayar Kena Sahkan Identiti Sebelum Siar Iklan
Selama ini, siaran berbayar (sponsored posts) telah menyalahgunakan wajah individu terkenal untuk promosi pelaburan meragukan, penipuan kewangan dan judi dalam talian. Ini kerana tiada cara untuk mengesan siapa yang sebenarnya membayar iklan tersebut.
Bagaimanapun ia akan berubah di bawah Kod Mitigasi Risiko (Risk Mitigation Code, RMC). Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kini mewajibkan setiap pengiklan sama ada individu atau entiti berdaftar menjalani pengesahan identiti oleh platform sebelum boleh menerbitkan sebarang iklan berbayar.
RMC turut menangani penyalahgunaan identiti individu terkemuka dan aktiviti perjudian digital. Selain pengesahan identiti pengiklan, pembekal platform juga perlu melaksanakan penilaian risiko, moderasi kandungan, kawalan keselamatan pengguna dan akauntabiliti platform yang lebih kukuh.
Pengguna Bawah 16 Tahun Perlu Sahkan Umur
Di bawah Kod Perlindungan Kanak-kanak (Child Protection Code, CPC) yang turut berkuat kuasa pada tarikh yang sama. Platform berlesen diwajibkan memastikan hanya pengguna berumur 16 tahun ke atas dibenarkan mendaftar akaun baharu. Pengesahan umur perlu dijalankan menggunakan dokumen rasmi seperti kad pengenalan atau pasport.
Bagi pengguna sedia ada pula:
- Pengesahan umur akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh sehingga enam bulan.
- Pengguna sedia ada yang didapati berumur bawah 16 tahun diberi masa satu bulan untuk memuat turun atau memindahkan data mereka, termasuk foto dan video. Sebelum sebarang sekatan atau penggantungan dikenakan.
Platform Diberi Tempoh, Tindakan Akan Diambil Jika Gagal Patuh
Kerajaan akan memberi tempoh yang munasabah kepada platform untuk memenuhi tanggungjawab baharu ini. Namun, SKMM menegaskan kegagalan mematuhi akan dilihat secara serius dan boleh mengakibatkan tindakan kawal selia serta penguatkuasaan mengikut undang-undang.
Maklumat lanjut mengenai CPC dan RMC boleh didapati di laman SKMM.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
