Bermula 1 Jun 2026, lebih daripada 9 juta orang pekerja sektor formal di Malaysia kini dilindungi secara automatik daripada kemalangan yang berlaku di luar waktu kerja, termasuk semasa cuti umum dan hari rehat. Tawaran ini diperkenalkan di bawah skim LINDUNG 24 JAM di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Pengumuman ini dibuat oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan susulan pindaan kepada Akta Keselamatan Pekerja 1969 (Akta 4).
Pendaftaran Baharu Tidak Diperlukan
Jika anda sudah bekerja sebelum 1 Jun 2026, anda tidak perlu buat apa-apa. Perlindungan di bawah LINDUNG 24 JAM adalah automatik untuk semua pekerja sektor formal sedia ada, tanpa perlu sebarang pendaftaran baharu oleh majikan atau pekerja.
Bagi pekerja yang mula bertugas selepas 1 Jun 2026 pula, majikan perlu mendaftarkan mereka melalui prosedur pendaftaran PERKESO yang sedia ada.
Kadar Caruman 0.75% Ditanggung Oleh Pekerja
Caruman bagi skim ini ditanggung sepenuhnya oleh pekerja, bukan majikan. Kadar semasa ditetapkan pada 0.75% daripada gaji bulanan, tertakluk kepada had gaji caruman sebanyak RM6,000.
Majikan bertanggungjawab untuk menolak caruman daripada gaji pekerja dan menyerahkannya kepada PERKESO setiap bulan. Caruman perlu dibayar secara berterusan bagi memastikan perlindungan tidak terputus.
Untuk makluman, pelaksanaan skim ini dijalankan secara berperingkat.
8 Manfaat Di Bawah LINDUNG 24 JAM
Melalui skim ini, PERKESO menyediakan lapan manfaat kepada pencarum:
- Manfaat Perubatan
- Manfaat Hilang Upaya Sementara
- Manfaat Hilang Upaya Kekal
- Manfaat Tanggungan
- Elaun Penjagaan Tetap
- Manfaat Pengebumian
- Pemulihan Fizikal
- Program Pemulihan Vokasional atau Kembali Bekerja (RTW), serta Manfaat Pendidikan
Selaras Dengan Piawaian ILO
Menurut Ramanan, perluasan perlindungan ini selaras dengan cadangan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan amalan terbaik antarabangsa dalam mengukuhkan liputan keselamatan sosial pekerja.
Inisiatif ini turut menyokong aspirasi Malaysia Madani dalam melindungi kebajikan tenaga kerja negara.
Cara Mohon Manfaat
Permohonan manfaat boleh dibuat melalui dua cara:
- Dalam talian: Portal LINDUNG Faedah
- Fizikal: Pejabat PERKESO yang terdekat
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
