Ini Risiko Jadi Penjamin Untuk Pinjaman Syarikat Yang Ramai Tak Sedar

KONGSI

Apabila bank minta anda tandatangan jaminan peribadi (personal guarantee) untuk pinjaman perniagaan, ramai yang anggap ia sekadar syarat yang ditetapkan oleh pihak bank. Tapi kalau syarikat gagal bayar hutang, bank boleh kejar anda secara peribadi.

Inilah realiti yang dihadapi ramai usahawan Malaysia, dan kes kebankrapan melibatkan penjamin korporat terus meningkat dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini.

Beberapa individu turut tampil berkongsi mengenai pengalaman mereka yang terperangkap selepas menjadi penjamin syarikat.

Terpaksa Fail Muflis Selepas Syarikat Gagal Bayar Pinjaman Bank

Seorang usahawan dari Klang yang dikenali sebagai Leong, berusia 50 tahun telah mengambil alih perniagaan kedai besi keluarganya pada 2019. Pada mulanya, pesanan pelanggan terus meningkat menyebabkan dia membuat keputusan untuk mengembangkan syarikat yang diasaskan ayahnya sejak tahun 1980-an itu.

Susulan itu, syarikat terbabit telah mengambil pinjaman bank sebanyak RM500,000 dengan Leong menandatanganinya sebagai penjamin korporat.

“Saya jamin pinjaman itu kerana bank memerlukannya. Saya percaya perniagaan mampu menampung bayaran balik,” katanya.

Setahun kemudian, pandemik Covid-19 melanda. Projek pembinaan terhenti, pelanggan tangguh bayaran dan hasil jualan merudum. Leong terpaksa memberhentikan pekerja dan menggunakan simpanan peribadinya untuk menampung bayaran pinjaman.

“Pada akhirnya, saya sudah tidak berdaya. Bank sentiasa kejar untuk pembayaran dan hutang terus bertambah,” katanya lagi.

Dengan pinjaman masih tertunggak, Leong akhirnya memfailkan kebankrapan.

Menurut Leong, dia tidak pernah jangka perkara sebegini akan terjadi apabila dia menurunkan tandatangan jaminan itu. Pada pemikirannya ketika itu ia hanya sebahagian daripada urusan perniagaan biasa.

Bank Boleh Kejar Anda Secara Peribadi Walaupun Ia Pinjaman Syarikat

Seorang lagi individu yang dikenali sebagai Adam, berusia 48 tahun dari Kuala Lumpur turut berkongsi pengalaman yang sama.

Dia terlibat dalam perniagaan bekalan makanan bersama adik-beradiknya. Selepas pandemik, aliran tunai syarikat merosot dan mereka mengambil pinjaman untuk kekal beroperasi. Bank mahukan semua pengarah menandatangani jaminan peribadi sebelum meluluskan pembiayaan.

“Masa tu kami setuju sahaja kerana kami perlukan dana untuk terus beroperasi,” kata Adam.

Bagaimanapun apa yang Adam tidak sedar, jaminan itu bermakna bank boleh menuntut hutang terus daripada dia secara peribadi jika syarikat gagal bayar.

“Saya tidak tahu bank boleh tuntut saya secara peribadi. Saya baru faham risikonya kemudian,” jelas Adam.

Hingga kini, perniagaan keluarganya masih bergelut untuk pulih.

Syarikat Sdn. Bhd. Tidak Bermakna Aset Peribadi Anda Selamat

Ramai usahawan beranggapan bahawa kerana syarikat mereka berstatus Sendirian Berhad (Sdn. Bhd.), aset peribadi mereka tidak boleh disentuh. Tanggapan ini sebenarnya salah.

Seorang perancang kewangan berlesen yang tidak mahu dikenali menjelaskan dalam pembiayaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), ianya perkara biasa bagi bank untuk meminta pengarah atau pemegang saham bertindak sebagai penjamin peribadi sebelum meluluskan pinjaman.

Ini bermakna, jika syarikat gagal bayar, bank boleh mengejar penjamin secara peribadi untuk menuntut hutang yang masih tertunggak.

Struktur liabiliti terhad sebuah syarikat yang sepatutnya memisahkan kewangan syarikat daripada kewangan peribadi tidak lagi terpakai apabila anda telah menandatangani jaminan peribadi.

Apa Akan Jadi Kalau Anda Gagal Bayar?

Di bawah undang-undang Malaysia, pemiutang boleh memulakan prosiding kebankrapan terhadap individu sekiranya hutang yang tidak dijelaskan melebihi had yang ditetapkan dan masih belum diselesaikan.

Setelah diisytiharkan muflis, hal ehwal kewangan anda akan berada di bawah pentadbiran Jabatan Insolvensi termasuk sekatan ke atas aktiviti kewangan dan pengurusan aset.

Jangan Anggap Ini Sekadar Syarat Biasa yang Bank Tetapkan

Perancang kewangan tersebut menegaskan bahawa terlalu ramai pemilik perniagaan yang tidak ambil serius dengan implikasi undang-undang apabila menandatangani jaminan peribadi.

Menandatangani jaminan peribadi tidak seharusnya dianggap sebagai formaliti semata-mata. Usahawan mesti benar-benar faham bahawa mereka sedang mempertaruhkan masa depan kewangan mereka sendiri jika perniagaan gagal.

Sebelum menandatangan apa-apa jaminan, fahami dulu apa yang anda bersetuju dan pastikan anda sudah bersedia dengan risiko yang datang bersamanya.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen