JPN Jamin Struktur MyKad Baharu Tidak Jejaskan Bantuan SARA dan Budi95

KONGSI

Kad pengenalan (IC) versi baharu yang akan dilancarkan tidak lama lagi menyebabkan segelintir rakyat Malaysia risau jika nama mereka akan hilang daripada senarai penerima bantuan kerajaan selepas MyKad digantikan.

Peka  dengan perkara itu, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah mengeluarkan kenyataan rasmi yang memastikan pelancaran Struktur MyKad baharu pada bulan ini tidak akan menjejaskan agihan bantuan kerajaan, termasuk Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Budi Madani RON95 (Budi95).

Senarai Penerima Kekal dan Tiada Yang Tercicir

Menurut JPN, senarai penerima sedia ada dalam sistem akan kekal sepenuhnya. Proses pemindahan data akan berlaku secara automatik dalam sistem pangkalan data pusat tanpa memerlukan sebarang tindakan daripada penerima bantuan.

JPN turut menegaskan pihaknya telah menjalin kerjasama rapat dengan pelbagai kementerian dan agensi pengagih bantuan bagi memastikan integriti data terpelihara sepanjang proses peralihan ini.

Ciri Keselamatan Lebih Kukuh, Proses Tuntutan Kekal Sama

Struktur MyKad baharu hadir dengan ciri-ciri keselamatan yang dipertingkatkan untuk memperkukuh proses pengesahan identiti. Walau bagaimanapun, kad baharu ini akan terus menyokong ekosistem sedia ada yang digunakan untuk pengagihan subsidi dan bantuan.

Senang kata, anda tidak perlu risau kerana prosedur untuk menerima  bantuan kerajaan masih sama.

Jangan Percaya Khabar Angin

JPN turut mengingatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan khabar angin yang mendakwa bantuan akan dihentikan sekiranya kad tidak digantikan dengan segera. Tiada tarikh akhir segera yang dikenakan untuk penggantian kad.

Proses penggantian akan dilaksanakan secara berperingkat dan maklumat lanjut mengenai prosedur permohonan akan diumumkan kemudian.

Untuk pertanyaan, layari laman sesawang rasmi JPN atau saluran media sosial rasminya.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments