Ekonomi Malaysia tumbuh 5.4% pada suku pertama 2026 (Q1 2026) dengan jumlah keluaran bernilai RM437.7 bilion. Angka ini dilihat lebih rendah berbanding 6.2% pada suku keempat 2025 (Q4 2025), tetapi masih kukuh memandangkan tekanan ekonomi global yang sedang berlaku.
Perkara ini diumumkan oleh Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, dan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Dato’ Seri Abdul Rasheed Ghaffour dalam sidang akhbar bersama pada 15 Mei 2026.

Pertumbuhan Semakin Perlahan Dari Bulan Ke Bulan
Sepanjang Q1 2026, kadar pertumbuhan bulanan terus menyederhana:
- Januari 2026: 6.8%
- Februari 2026: 5.2%
- Mac 2026: 4.1%
Perkara ini berlaku kerana kesan daripada konflik di Timur Tengah yang semakin terasa memasuki bulan Mac.
Apa Yang Bantu Ekonomi Tumbuh?
Tiga perkara utama yang menyokong pertumbuhan pada Q1 2026 adalah perbelanjaan rakyat yang kukuh, pelaburan yang stabil dan eksport berterusan terutamanya dalam sektor elektronik (E&E) dan perkhidmatan ICT.
Bantuan kerajaan seperti STR, SARA, BAP dan BKK turut meningkatkan pendapatan isi rumah.
Kenaikan gaji fasa kedua penjawat awam di bawah SSPA, sambutan perayaan Tahun Baharu Cina, Ramadan, dan Hari Raya Aidilfitri, diskaun tol serta subsidi bahan api BUDI95 semuanya membantu menaikkan perbelanjaan rakyat.
Perkembangan Prestasi Sektor: Siapa Tumbuh, Siapa Susut?
Menurut Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir, prestasi sektoral pada Q1 2026 adalah seperti berikut:
| Sektor | Pertumbuhan ST1 2026 | Sumbangan kepada KDNK |
| Perkhidmatan | +5.6% | 59.9% |
| Pembuatan | +5.9% | 23.1% |
| Pembinaan | +7.7% | 4.4% |
| Pertanian | +2.6% | 5.6% |
| Perlombongan dan Pengkuarian | -2.1% | 5.7% |
Sektor Perkhidmatan kekal penyumbang terbesar kepada ekonomi negara. Perkhidmatan digital seperti pengkomputeran awan dan pemprosesan data tumbuh 8.1%. Sektor Pembuatan didorong oleh cip dan komponen elektronik berkaitan AI yang melonjak 12.8%. Industri makanan dan minyak sawit juga tumbuh 9.2%.
Sektor Pembinaan menunjukkan perkembangan yang positif Projek bangunan bukan kediaman naik 10.1% dan kerja-kerja pembinaan khas melonjak 15.9%. Jumlah nilai kerja pembinaan mencecah RM46.5 bilion. Sektor Pertanian pula tumbuh lebih perlahan pada 2.6% kerana pengeluaran sawit kembali normal selepas musim tuaian yang baik pada ST4 2025. Sektor ternakan bagaimanapun mencatat pertumbuhan 8.7%.
Sektor Perlombongan satu-satunya yang mencatat kemerosotan, turun 2.1% akibat pengeluaran minyak mentah (-4.2%) dan gas asli (-2.1%) yang berkurangan.
Perbelanjaan dan Pelaburan
Dari sudut perbelanjaan, perbelanjaan isi rumah yang menyumbang 61.6% daripada KDNK tumbuh 4.7%, didorong oleh perbelanjaan pengangkutan (+9.2%) dan makan minum dan penginapan (+12.9%).
Pelaburan kekal positif dengan sektor swasta naik 7.8% dan sektor awam 5.3%. Eksport bersih pula pulih sebanyak 13.5% selepas menyusut 32.9% pada suku sebelumnya.
Pendapatan per kapita rakyat Malaysia (PNK per kapita) bagi Q1 2026 ialah RM57,320.
Kesan Konflik Timur Tengah Kepada Malaysia
Konflik di Timur Tengah menyebabkan harga minyak mentah dunia melonjak kepada sekitar USD102 sebulan. Kos pengeluaran naik, bekalan barang terjejas, dan pelabur menjadi lebih berhati-hati.
Gabenor BNM Dato’ Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata impak ke atas Malaysia masih terkawal atas tiga sebab. Pertama, Malaysia adalah pengeksport minyak dan gas, jadi harga tenaga yang lebih tinggi sebenarnya memberi manfaat kepada negara. Kedua, ekonomi Malaysia tidak bergantung kepada satu sektor sahaja. Ketiga, kadar inflasi yang rendah memberi ruang untuk ekonomi bertahan dari tekanan luar.
Ringgit Mengukuh Sejak Awal Tahun
Ringgit mengukuh 0.5% berbanding dolar AS pada Q1 2026. Walaupun ada tekanan sementara akibat konflik Timur Tengah, Ringgit pulih selepas rundingan gencatan senjata pada 8 April. Sehingga 13 Mei 2026, ringgit sudah naik 3.3% berbanding dolar AS sejak awal tahun.
Harga Barang Naik Sikit, Tapi Terkawal
Kadar inflasi meningkat kepada 1.6% pada Q1 2026. Harga petrol RON97 dan diesel tanpa subsidi naik pada bulan Mac akibat kenaikan harga minyak dunia. Inflasi teras bagaimanapun kekal rendah pada 2.1%, menunjukkan harga barang keperluan asas masih terkawal.
Pemantauan harian melalui aplikasi PriceCatcher menunjukkan harga makanan dan barang runcit masih terkawal sehingga awal Mei. Untuk keseluruhan 2026, inflasi dijangka antara 1.5% hingga 2.5%.
Kadar OPR Kekal 2.75%
BNM mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75% dalam mesyuarat Mei 2026. Ini bermakna kadar pinjaman dan simpanan bank tidak berubah buat masa ini.
Bantuan Untuk PKS Yang Terjejas
BNM juga bertindak dengan menyediakan empat kategori bantuan untuk perniagaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas:
- Penstrukturan semula hutang: Lebih 20 bank dan institusi kewangan boleh bantu susun semula pinjaman PKS. AKPK turut menawarkan program pengurusan hutang (SDRS dan DMP).
- Bantuan aliran tunai: Dana SME SRF bernilai RM5 bilion disediakan untuk PKS yang memerlukan wang segera. Usahawan mikro boleh mohon melalui Skim Pembiayaan Mikro (SPM).
- Akses mudah: PKS boleh hubungi CGC, AKPK, atau BNMLINK untuk mendapat panduan.
- Jaminan jangka panjang: BNM dan CGC akan tubuhkan skim jaminan RM10 bilion untuk bantu PKS berkembang selepas krisis.
Jangkaan Pertumbuhan 2026: 4.0% hingga 5.0%
Ekonomi Malaysia dijangka terus tumbuh antara 4.0% hingga 5.0% pada 2026. Perbelanjaan rakyat dan pelaburan dijangka kekal kukuh, disokong oleh permintaan berterusan untuk produk elektronik dan perkhidmatan ICT.
Risiko utama ialah konflik Timur Tengah yang berpanjangan, kos sara hidup yang lebih tinggi, dan pengeluaran komoditi yang merosot. Namun jika konflik mereda atau permintaan elektronik semakin kuat, pertumbuhan boleh melepasi jangkaan.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
