Jualan Proton Suku Pertama 2026 Cecah Paras Tertinggi Sejak 22 Tahun, EV Jadi Pendorong Utama

KONGSI

Pengeluar kereta nasional iaitu Proton baru sahaja mencatatkan rekod jualan terbaik dalam tempoh lebih dua dekad. Jumlah jualan pada suku pertama 2026 bermua dari Januari 2026 sehingga Mac 2026 telah mencapai 49,140 unit. Angka tersebut adalah yang tertinggi sejak tahun 2004.

Apa yang mengejutkan adalah peningkatan ini berlaku ketika jumlah industri kenderaan Malaysia (TIV) secara keseluruhan menunjukkan penurunan sebanyak 4.9% dalam tempoh yang sama.

Jualan Suku Pertama 2026 Naik 40.1% Berbanding Tahun Lepas

  • 49,140 unit dijual dalam S1 2026, naik 40.1% berbanding tahun lepas
  • 15,706 unit dijual pada Mac sahaja, naik 15.4% dari Februari, naik 12.8% berbanding Mac 2025
  • Bahagian pasaran Mac dijangka 25.1%, manakala bahagian pasaran kumulatif setakat ini 27.4%, tertinggi sejak 2017

Proton e.MAS Kini Jenama EV Nombor Satu di Malaysia

Proton e.MAS bukan lagi sekadar nama baharu. Malah menjadi jenama tenaga baharu Proton yang kini menduduki tangga teratas sebagai jenama kenderaan elektrik (EV) terlaris di Malaysia.

Pada bulan Mac sahaja, sebanyak 3,023 unit Proton e.MAS telah dijual di mana model e.MAS 5 mencatat jumlah 2,071 unit, ia membawa jumlah kumulatif setakat ini kepada 6,701 unit.

Proton e.MAS 7 pula mencatatkan hasil yang memberangsangkan dalam bulan jualan penuh pertamanya:

  • 646 unit untuk varian PHEV (plug-in hybrid electric vehicle)
  • 306 unit untuk varian elektrik sepenuhnya, dua bulan berturut-turut menunjukkan pertumbuhan

Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang berkata, sasaran mereka jelas iaitu ingin menjadi Proton e.MAS jenama kenderaan EV nombor satu di Malaysia menjelang akhir 2026.

Model Yang Menggunakan Enjin Petrol Juga Menunjukkan Peningkatan

Pertumbuhan Proton bukan bergantung pada EV semata-mata. Model-model enjin konvensional (ICE) atau dalam bahasa mudahnya yang menggunakan enjin petrol turut mencatatkan pertumbuhan jualan yang ketara selepas beberapa pelancaran baharu dalam suku pertama 2026.

Proton Saga kekal sebagai model terlaris dengan 5,438 unit pada Mac dan 21,770 unit sepanjang suku pertama iaitu peningkatan sebanyak 38% berbanding tahun lalu.

Proton X50 terus mendominasi kategori SUV segmen B:

  • 3,265 unit dijual pada Mac
  • 7,571 unit kumulatif setakat ini, kenaikan sebanyak 48% dari tahun sebelumnya

Proton S70 pula kekal sebagai sedan segmen C terlaris dengan 2,254 unit pada Mac, malah mengatasi beberapa pesaing dari segmen B pada bulan yang sama.

Proton X90 2026 yang baru dilancarkan semasa Ramadan, terus mencatat 323 unit walaupun belum sempat menikmati sebulan penuh jualan menjadikannya SUV tujuh tempat duduk segmen D terlaris bagi bulan tersebut.

Apa Yang Mendorong Prestasi Ini?

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Abdul Rashid Musa, menyatakan tiga faktor utama yang mendorong prestasi ini adalah pelaburan dalam teknologi, pengukuhan rangkaian pengedar, dan perkhidmatan selepas jualan yang lebih baik.

Beliau turut mengakui bahawa syarikat perlu bersedia menghadapi senario kenaikan harga bahan api. Justeru model-model terkini direka untuk lebih cekap bahan api dan kos penyelenggaraan yang lebih rendah.

Bagi pembeli yang mahu beralih kepada EV atau PHEV pula, Proton e.MAS adalah pilihan yang terbaik untuk mereka.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments