Anda Kini Boleh Jana Semula Resit Transaksi Lama Dalam Aplikasi RHB Mobile Banking

KONGSI

Pernah tak anda buat bayaran, tapi terlupa simpan resit? Atau tiba-tiba pihak majikan atau pembekal minta bukti pembayaran yang dah lama dibuat dan anda dah tak ingat ke mana resit itu pergi?

Pengguna RHB kini dah tak perlu risau kerana melalui kemaskini terbaru pada aplikasi RHB Mobile Banking, anda sudah boleh menjana semula resit transaksi lama dan berkongsi terus kepada sesiapa yang memerlukannya.

Kenapa Fungsi Ini Berguna?

Bagi kebanyakan orang, resit transaksi digital memang mudah terlepas pandang. Tangkap layar (screenshot) hilang, aplikasi tertutup sebelum sempat simpan butiran atau telefon lama ditukar tanpa sempat pindahkan data.

Dengan fungsi jana semula resit ini, anda tidak perlu lagi bergantung pada simpanan lama atau menghubungi khidmat pelanggan RHB semata-mata untuk dapatkan bukti pembayaran. Semuanya boleh diakses sendiri, terus menerusi aplikasi, pada bila-bila masa.

Ini juga amat membantu bagi mereka yang menguruskan perbelanjaan perniagaan kecil, di mana rekod pembayaran yang lengkap adalah penting untuk tujuan perakaunan atau membuat tuntutan di kemudian hari.

Cara Jana Semula Resit Dalam Aplikasi RHB

Prosesnya mudah dan boleh siap dalam masa beberapa minit sahaja:

Langkah 1: Log masuk ke aplikasi RHB Mobile Banking, tekan butang “Accounts” di bahagian bawah skrin, kemudian pilih akaun Semasa atau Simpanan anda.

Langkah 2: Di bawah bahagian “Recent Transactions”, tekan “View All” untuk melihat keseluruhan senarai transaksi anda.

Langkah 3: Klik pada tab “Receipts”. Di sini anda boleh semak semula transaksi-transaksi yang lepas. Gunakan ikon “Filter” untuk tapis senarai mengikut bulan tertentu berguna apabila anda perlu cari transaksi spesifik dalam rekod yang panjang.

Langkah 4: Tekan pada ikon resit di sebelah transaksi yang dikehendaki. Resit akan dimuat turun dan boleh dikongsi terus kepada sesiapa yang perlu, sama ada melalui WhatsApp, e-mel, atau platform lain.

Jenis Transaksi Yang Boleh Dijana Semula

Berdasarkan paparan dalam aplikasi, fungsi ini merangkumi pelbagai jenis transaksi, antaranya:

  • Pemindahan dana (DuitNow Fund Transfer dan DuitNow QR)
  • Pembayaran bil (JomPAY)
  • Pemindahan wang ke luar negara (Overseas Transfer)

Ini bermakna, sama ada anda membayar bil Tenaga Nasional Berhad (TNB), menghantar wang kepada kenalan di luar negara atau membuat bayaran melalui kod QR, resit boleh dijana semula pada bila-bila masa ia diperlukan.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang perkhidmatan perbankan dalam talian dan mudah alih RHB yang lain, layari laman rasmi RHB Digital Services.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen