Ekonomi Global Sedang Berubah Dan Rakyat Malaysia Perlu Bersedia Hadapinya – Timbalan Gabenor BNM

KONGSI

Perubahan yang sedang berlaku dalam ekonomi global bukanlah satu kitaran biasa yang akan kembali normal,tetapi ia akan memberi perubahan untuk jangka masa panjang. Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Marzunisham Omar mahu rakyat Malaysia bersedia menghadapi perkara ini.

Ketika memberi ucapannya di Ucapan BNM 2026 mengenai Ekonomi Malaysia & Perbincangan Panel yang dianjurkan oleh Persatuan Ekonomi Malaysia, Marzunisham berkata ekonomi global sedang mengalami “perubahan struktur yang fundamental” dengan kesan yang tidak akan hilang dalam masa terdekat.

“Sebagai ekonomi terbuka, Malaysia pasti akan terdedah dan terjejas. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk bersedia  bukan sahaja untuk mengurangkan cabaran, tetapi juga untuk memanfaatkan peluang yang ada,” katanya.

Tiga Kuasa Yang Sedang Mengubah Ekonomi Dunia

Marzunisham mengenal pasti tiga faktor utama di sebalik perubahan ini:

1. Geopolitik kini menjadi pemacu ekonomi utama: Tarif dan halangan perdagangan bukan lagi sekadar alat ekonomi. Ia kini mencerminkan pertimbangan strategik dan keselamatan negara yang jauh melampaui objektif ekonomi semata-mata.

2. Fragmentasi geo-ekonomi yang semakin ketara: Rantaian bekalan global sedang disusun semula. Negara-negara tidak lagi mengutamakan kecekapan, sebaliknya memberi keutamaan kepada ketahanan, bermakna hubungan perdagangan yang selama ini dianggap pasti kini semakin tidak menentu.

3. AI sedang membentuk semula cara ekonomi berfungsi: Kecerdasan buatan (AI) bukan lagi teknologi masa depan. Ia sudah mengubah model perniagaan, cara modal diagihkan, dan cara aktiviti ekonomi harian berjalan.

Jelas Marzunisham, gabungan ketiga-tiga faktor ini telah membawa kepada persekitaran global yang lebih berpecah-belah dengan ketidaktentuan yang tinggi, pasaran kewangan yang tidak stabil, dan halangan perdagangan yang semakin kritikal.

Timur Tengah Menjadi Contoh Paling Ketara

Konflik berterusan di Timur Tengah memberi gambaran yang jelas tentang bagaimana risiko geopolitik boleh memberi kesan nyata kepada ekonomi. Kesannya bergantung kepada tiga perkara iaitu tempoh konflik, kerosakan infrastruktur, dan gangguan kepada laluan bekalan utama seperti Selat Hormuz.

“Kita sudah merasai dan menyaksikan impak konflik ini secara global, malah di Malaysia,” kata Marzunisham.

Antara isu yang sudah semakin terasa ialah tekanan inflasi yang meningkat seiring dengan kenaikan harga tenaga dan komoditi, aliran perdagangan global terganggu, dan pasaran kewangan semakin tidak menentu. Semua ini akhirnya memberi tekanan kepada isi rumah dan perniagaan di seluruh dunia.

Harga minyak mentah Brent sudah pun melepasi paras US$100 setong yang didorong oleh gangguan bekalan melalui Selat Hormuz iaitu laluan penghantaran minyak global yang paling penting. Lonjakan ini mencetuskan ketidaktentuan yang lebih luas apabila para pelabur menilai semula risiko inflasi dan prospek dasar monetari di ekonomi-ekonomi utama.

Kesan Konflik Timur Tengah Kepada Malaysia

Di Malaysia, terdapat beberapa kesan baik dan buruk. Harga minyak yang lebih tinggi memang menyokong hasil eksport negara sebagai pengeksport tenaga bersih. Namun pada masa yang sama, ia turut meningkatkan kos subsidi dan memberi tekanan kepada harga dalam negeri.

Pendek kata, ada ruang untuk manfaat, tapi ada juga kos yang perlu diuruskan.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments